Rujuk pakar jika ragu-ragu vaksinasi kanak-kanak, kata MMA


PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA menasihatkan ibu bapa supaya berunding dengan pakar pediatrik atau doktor keluarga jika raguragu tentang vaksinasi untuk anak mereka.

Presidennya Dr Koh Kar Chai berkata memang ada ibu bapa risau dengan kesan buruk akibat vaksin Covid-19 sehingga teragak-agak untuk membenarkan anak mereka disuntik vaksin tersebut.

“Kepada ibu bapa ini, MMA nasihatkan mereka berjumpa dengan pakar pediatrik atau doktor keluarga bagi mendapatkan maklumat sahih sebelum membuat keputusan tentang keperluan untuk memvaksin anak mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Koh berkata ramai ibu bapa bimbang tentang kluster dilaporkan dari institusi pendidikan apatah lagi ada laporan jangkitan Covid-19 yang teruk pada kanak-kanak, walaupun jumlahnya kecil.

Beliau berkata Putrajaya tidak pernah memaksa vaksin Covid-19 ke atas kanak-kanak berumur 5-11 tahun.

“Ia keputusan yang patut dipuji yang telah diambil oleh kerajaan mengenai PICKids.

“Kanak-kanak berumur 5-11 tahun adalah kohort terakhir (tidak termasuk kanak-kanak bawah 5 tahun) yang masih belum disuntik vaksin,” katanya.

Setakat semalam seramai 454,194 kanak-kanak atau 12.8 peratus daripada populasi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 di bawahProgram Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Berdasarkan data laman web CovidNow, sebanyak 13,924,411 atau 59.2 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak Covid-19, 22,943,785 atau 97.5 peratus diberi dua dos manakala 23,220,757 atau 98.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi remaja berumur dari 12 hingga 17 tahun pula, seramai 2,798,646 individu atau 89.9 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi manakala 2,883,444 atau 92.6 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sebanyak 151,156 dos suntikan vaksin telah diberikan semalam melibatkan 72,991 suntikan dos pertama, 648 suntikan dos penuh dan 77,517 suntikan penggalak, menjadikan dos vaksin kumulatif yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sehingga kini kepada 66,018,438,43. – 20 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen