Laporan ekonomi kepada Muhyiddin bukan rahsia, kata Tengku Zafrul


Muhyiddin Yassin menerima laporan ekonomi itu atas kapasitinya sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Februari, 2022.

LAPORAN ekonomi yang diserahkan kepada Muhyiddin Yassin bukan rahsia tetapi adalah fakta sama yang diketahui oleh Jemaah Menteri, kata kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Katanya, laporan itu diberikan kepada Muhyiddin atas kapasiti beliau sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara, menepis tanggapan ia rahsia rasmi kerajaan yang dibocorkan kepada parti politik.

“Sebagai pengerusi MPN, beliau memerlukan laporan-laporan tersebut untuk mengambil keputusan yang tepat dalam membantu Perdana Menteri membawa Malaysia ke arah pemulihan pasca-Covid,” kata Tengku Zafrul, dalam penjelasan di Facebook.

Menurut Tengku Zafrul, fakta ekonomi dalam laporan itu bukan perkara baharu sebaliknya sudah beliau ulang berkali-kali kepada Jemaah Menteri dan beberapa pihak lain.

“Saya tidak pernah sorok, baik melalui kenyataan media, ulasan saya dalam forum-forum, jawapan-jawapan parlimen dan laporan-laporan agensi seperti Bank Negara, Jabatan Statistik dan sebagainya,” katanya.

Semalam, Pemuda Umno Parit Sulong membuat laporan polis berhubung kenyataan Muhyiddin selaku presiden Bersatu semasa berucap kelmarin pada majlis pelancaran jentera Perikatan Nasional (PN) Johor untuk pilihan raya negeri.

Pemuda Umno Parit Sulong mendakwa laporan ekonomi yang diberi oleh Tengku Zafrul kepada Muhyiddin adalah maklumat sulit yang dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Dalam ucapannya Muhyiddin berkata beliau meminta dan sudah menerima laporan ekonomi semasa daripada Tengku Zafrul.

“Suatu ketika saya akan bocorkan bagaimana kedudukan kewangan negara kita.

“Berapa lama lagi kita bertahan? Berapa lama hasil negara dikutip tiap-tiap tahun cukup bayar gaji dan pembangunan negara? Berapa wang tabung pencen yang banyak itu?

“Saya cakap setakat itu saja. Saya faham situasi negara tak semolek digambarkan,” katanya.

Tengku Zafrul dilantik menteri kewangan oleh Muhyiddin pada Mac 2020. Beliau kekal di portfolio itu dalam Jemaah Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang menggantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri pada Ogos 2021. – 20 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen