SOP baharu boleh lonjak jumlah keluar mengundi PRN Johor, kata penganalisis


Chan Kok Leong

SOP baharu yang ditetapkan SPR bagi PRN Johor pada 12 Mac menggalakkan lebih ramai ahli parti berkempen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Februari, 2022.

PROSEDUR operasi standard (SOP) yang disemak semula bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka meningkatkan peratusan keluar mengundi selepas prestasi buruk pada PRN Melaka dan Sarawak baru-baru ini, kata penganalisis.

Di sebalik peningkatan jangkitan Covid-19, Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, peratusan keluar mengundi boleh mencecah 75%.

“SOP pilihan raya akan menggalakkan lebih ramai ahli parti berkempen di Johor dan ini akan meningkatkan peratusan keluar mengundi,” kata pensyarah sains politik itu kepada The Malaysian Insight.

“Saya percaya ia boleh melepasi angka 75%,” katanya.

Mazlan, yang sudah meninjau lima kerusi DUN di Johor berkata, pengundi kelihatan bermotivasi untuk keluar mengundi dan lebih tinggi daripada apa yang dilihatnya pada PRN Melaka November lalu.

Beliau berkata, faktor yang menyelubungi PRN Johor dan Melaka berbeza, walaupun beliau enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata, ini boleh menjejaskan Barisan Nasional (BN) kerana peratusan keluar mengundi yang rendah dipercayai baik buat Umno.

“Peratusan keluar mengundi lebih rendah daripada 60% adalah lebih baik untuk BN berbanding pembangkang,” kata Mazlan.

Seminggu sebelum penamaan calon, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pada Jumaat bahawa parti politik yang bertanding dalam PRN Johor akan dibenarkan berceramah dan mengadakan walkabout termasuk lawatan ke rumah.

Ia berbeza dengan dua PRN yang lalu apabila semua kempen fizikal dilarang. Parti politik hanya dibenarkan untuk menjalankan kempen dalam talian atau menghantar mesej daripada kenderaan yang sedang bergerak.

Susulan larangan itu, kedua-dua PRN menyaksikan peratusan keluar mengundi paling rendah dengan Melaka dan Sarawak masing-masing mencatat 65.85% dan 60.67% sahaja.

Pada pilihan raya 2018, peratusan keluar mengundi di Melaka adalah 84.52% manakala Sarawak mencatatkan peratusan keluar mengundi 67.33% semasa PRN 2016.

Berbeza dengan parti pembangkang yang banyak bergantung kepada kempen fizikal untuk menggembleng sokongan, Umno yang mempunyai bilangan ahli paling ramai mampu menggerakkan undi mereka sama ada kempen secara fizikal atau sebaliknya.

Walaupun kurang berkempen, BN mampu memenangi 21 daripada 28 kerusi yang ditandingi di Melaka manakala rakan kongsi lamanya GPS meraih 76 daripada 82 kerusi di Sarawak.

Petak mengundi di Singapura

Namun ketika langkah melonggarkan SOP pilihan raya dialu-alukan, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim percaya SPR boleh melakukan lebih banyak lagi.

“SPR mesti meningkatkan promosi melalui media sosial dan media tradisional seperti televisyen dan radio untuk menggalakkan pengundi keluar mengundi,” kata pemimpin PKR itu.

“Dan ia amat membantu jika SPR mempunyai kaunter terbuka untuk pengundi luar negara di Singapura kerana terdapat kira-kira 200,000 pengundi di sana.”

Isu itu penting kerana pengundi Johor yang berpangkalan di Singapura tidak mungkin dapat kembali pada hari pengundian (12 Mac) kerana laluan perjalanan vaksin harian (VTL) dengan Singapura hanya membenarkan 1,440 pengembara setiap hari.

Peguam itu berkata, mereka yang tidak dapat mendaftar untuk mengundi pos tidak akan dapat mengundi.

“Jadi, ketika SOP baharu dialu-alukan, SPR boleh dan harus melakukan lebih banyak lagi untuk menggalakkan pengundi,” kata Hassan.

Calon harapan Pejuang Mohamad Riadz Hashim juga percaya SPR boleh lebih aktif untuk menggalakkan pengundi hadir pada hari pengundian.

“Tidak ramai yang menonton televisyen dan radio hari ini. SPR sepatutnya mempromosikan pilihan raya Johor melalui iklan di YouTube atau Facebook atau Twitter,” kata ahli perniagaan berusia 49 tahun itu.

Namun sehingga kini, Riadz berkata beliau tidak menemui sebarang iklan oleh SPR.

Mengenai SOP baharu, Riadz berkata, ia masih mencabar buat parti baharu seperti Pejuang kerana terdapat batasan.

“Peraturan tambahan untuk mengehadkan saiz ceramah baik kerana ia akan mengurangkan perbelanjaan tetapi tidak membantu parti dan calon baharu mempromosikan diri mereka.

“Sebaliknya, apa yang akan membantu adalah jika SPR memastikan jumlah masa siaran yang adil untuk semua calon di media tradisional. Pada masa ini, hanya parti kerajaan seperti BN yang mendapat bahagian terbesar masa siaran,” kata Riadz, salah seorang calon di kerusi Larkin di Johor. – 20 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen