PKR umum calon 7 kerusi akhir


Chan Kok Leong

Presiden PKR, Anwar Ibrahim (tengah) bersama 7 calon parti yang diumumkannya hari ini. – Gambar Facebook, 19 Februari, 2022.

PKR mengumumkan tujuh calon terakhirnya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, menjadikannya 20 kerusi yang akan ditandingi parti itu.

Presiden parti Anwar Ibrahim membuat pengumuman itu di Pasir Gudang petang ini.

Ia bermakna PKR memutuskan untuk tidak berkongsi sebarang kerusi dengan parti mesra Pakatan Harapan, Muda.

Semalam, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, PKR dan Muda menamatkan rundingan kerusi selepas gagal mencapai kata sepakat.

Bagaimanapun, Syed Saddiq berkata, pihaknya komited untuk memastikan tidak berlaku pertindihan pertandingan dalam kalangan parti pembangkang namun tidak jelas sama ada ia akan meletakkan calon di beberapa kerusi PKR.

Antara kerusi yang dipertikaikan adalah Bukit Gambir, Larkin dan Kempas.

Setakat ini, Muda hanya mengumumkan setiausaha agungnya Amira Aisya Abd Aziz bagi kerusi Puteri Wangsa.

Muda dijangka meletakkan calon di enam kerusi - Bukit Kepong, Bukit Permai, Machap, Parit Raja, Puteri Wangsa dan Tenang - yang diperoleh daripada Amanah dan DAP.

Tujuh calon yang diumumkan oleh Anwar hari ini adalah Khairuddin Abdul Rahim (Rengit), Zulina Johari (Tenggaroh), Hanif Ghazali Osman (Benut), Mohd Zaiful Bakri (Kukup), Hariati Abu Nasir (Semarang), Rosman Tahir (Tg Surat) dan Omar Mokhtar (Johor Lama). – 19 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen