RAKYAT Malaysia yang melawat Thailand boleh menggunakan sijil digital vaksinasi di MySejahtera, kata Pengarah Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand Nongyau Jirundorn.
Beliau memberitahu The Star yang aplikasi MySejahtera diterima kerajaan Thailand dan mereka tidak menjangkakan wujudnya sebarang masalah.
“Kerajaan kami sudah menjelaskan kepada kerajaan Malaysia dan rakyatnya yang kami menerima sijil (digital) dari Malaysia, jadi kami tak jangka akan wujud sebarang masalah.
“Kes terbaru di Filipina sangat tidak bernasib baik kerana tidak wujud masalah untuk kumpulan pelancong sebelum ini,” katanya dipetik The Star.
Awal minggu ini, tujuh orang rakyat Malaysia terperangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila kerana Malaysia dan Filipina gagal mengiktiraf sijil digital vaksinasi masing-masing, MySejahtera dan VaxCertPH.
Masalah itu kemudiannya berjaya diselesaikan dan pelawat dibenarkan masuk ke dalam Filipina selepas campur tangan diplomatik.
Menyentuh peningkatan kes Covid-19 di Thailand sejak awal tahun ini, Nongyau berkata langkah pencegahan sudah diambil untuk mengekang penularan.
“Di bawah program ‘Test and Go’, pelawat akan diuji sebaik tiba dan mereka bebas ke mana-mana jika keputusan ujian mereka negatif.
“Pelawat juga dihendaki melakukan satu lagi ujian pada hari kelima dan hampir 70% populasi keseluruhan negara sudah divaksinasi.”
Bercakap tentang pembukaan sempadan darat Thailand-Malaysia pula, Nongyau berkata negara itu sudah bersedia menerima kemasukan pelancong dari Malaysia.
Tambahnya lagi, Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob dijangka melawat Thailand dalam dua minggu lagi untuk membincangkan isu pembukaan sempadan.
Nongyau berkata sangat penting untuk pelawat mengambil ujian PCR Covid-19 sebelum tiba di Thailand.
Katanya, sempadan akan mula dibuka bulan hadapan dan kerajaan Thailand berharap tindakan serupa diambil kerajaan Malaysia.
“Kami menjangka sejuta pelawat dari Malaysia tiba apabila sempadan kedua-dua negara mula dibuka,” katanya.
Thailand dijangka menerima lapan juta pelancong asing dari seluruh dunia pada tahun ini. – 19 Februari, 2022.
Komen