Skandal pesta musim Covid-19, PM Britain hantar maklumat diminta polis


PM Britain Boris Johnson didakwa hadir di sekurang-kurangnya 12 parti di Downing Street ketika seluruh negara itu diletakkan dalam sekatan pergerakan disebabkan pandemik. – Gambar AFP, 19 Februari, 2022.

PERDANA Menteri Britain Boris Johnson sudah menghantar maklum balasnya kepada soalan polis berkaitan parti di Downing Street yang dipercayai melanggar sekatan koronavirus, kata pejabatnya pada Jumaat.

Polis sedang menyiasat tuduhan yang Johnson menghadiri perhimpunan yang mungkin melanggara peraturan ketat penjarakan sosial dan pencegahan virus di Britain.

Kecaman awam terhadap skandal “partygate” menyebabkan Johnson bergelut dengan kemandirian politik. Beberapa ahli Parlimen daripada partinya sendiri secara terbuka mendesak beliau meletak jawatan, walaupun Johnson menafikan wujud salah laku.

Minggu lepas polis mengesahkan mereka akan menghantar “borang soal selidik rasmi kepada lebih 50 orang” bagi bertanyakan aktiviti mereka pada tarikh sekurang-kurangnya 12 majlis sosial dilakukan di Downing Street antara 2020 dan 2021.

Dokumen itu “mempunyai status perundangan dan perlu dijawab sejujurnya” dalam tempoh tujuh hari, menurut polis lagi.

Johnson boleh didenda sekiranya beliau tidak mampu menjelaskan sebab mengapa beliau hadir di majlis sosial diadakan ketika sekatan koronavirus dikuatkuasakan.

Johnson sudah meminta maaf secara rasmi di Parlimen kerana siri majlis sosial pada siasatan rasmi diketuai pegawai kanan perkhidmatan awam Sue Gray, tetapi berikrar akan mempertahankan jawatannya.

Gray mengakui laporan siasatan diketuainya setebal 12 muka surat itu terbatas selepas polis London melancarkan siasatan sendiri ke atas 12 parti yang diadakan di Downing Street sejak dua tahun lepas. – AFP, 19 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen