POLIS New Zealand enggan menghalau penunjuk perasaan antivaksin yang berkhemah di sekitar Parlimen di Wellington pada Jumaat, berkata mereka tidak mahu mencetuskan keganasan.
Polis mengambil pendekatan lepas tangan selepas percubaan untuk mengawal protes minggu lepas mengakibatkan pertempuran ganas dengan 120 ditangkap.
Pesuruhjaya Andrew Coster mengakui kekecewaan yang semakin meningkat dalam kalangan penduduk Wellington dan pemilik perniagaan apabila kenderaan protes menghalang jalan-jalan di pusat bandar buat hari ke-11.
Namun beliau menegaskan dialog dengan pemimpin demonstrasi itu membuahkan hasil yang positif, walaupun bilangan orang yang duduk di luar Parlimen makin meningkat.
“Tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh polis membawa risiko kecederaan kepada orang ramai, menambahkan lagi bilangan orang, dan peralihan daripada protes yang sebahagian besarnya aman kepada keganasan,” kata Coster.
“Dalam penilaian kami, satu-satunya pilihan selamat pada masa ini ialah dengan memberi tumpuan berterusan.”
Para penunjuk perasaan, yang diilhamkan oleh “Konvoi Kebebasan” Kanada, menyekat jalan raya dengan kereta, lori dan van awal minggu lalu, sebelum berkhemah di sekitar Parlimen.
Mereka telah mendirikan khemah dan tempat perlindungan, dan mengatur tandas mudah alih, tempat agih makanan dan kemudahan penjagaan kanak-kanak.
Laman web berita terbesar New Zealand berkata polis “seolah-olah melepaskan kawalan” di Parlimen, sambil menunjukkan kehadiran penunjuk perasaan yang bertindak sebagai pengawal keselamatan untuk menjaga akses ke kawasan itu.
Coster berkata kira-kira 800 orang berada di kem itu, dengan lebih 450 kenderaan menghalang jalan raya, dan meramalkan jumlahnya akan meningkat pada hujung minggu.
Polis mengancam untuk menggunakan tentera bagi menarik kenderaan minggu ini tetapi membatalkan hasrat itu selepas penunjuk perasaan membuat gesaan di media sosial untuk mendapatkan bantuan. – AFP, 18 Februari, 2022.
Komen