LEBIH 50 kakitangan pawagam mewah Aurum Theatre melahirkan rasa bimbang selepas pihak pengurusan enggan menutup operasi walaupun sebanyak 10 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pekerja.
The Malaysian Insight dimaklumkan kakitangan dari pawagam yang terletak di pusat membeli-belah popular di bandar ini diminta bekerja walaupun ramai yang mempunyai kontak rapat dengan mereka yang didapati positif.
Seorang kakitangan yang tidak mahu namanya disiarkan berkata dia hanya diberitahu untuk mengambil ujian Covid-19 tetapi tetap perlu datang bekerja.
Jelasnya majoriti pekerja kecewa dengan tindakan pihak pengurusan yang tidak menutup pawagam buat sementara waktu.
“Kami semua kecewa dengan pengurus yang enggan mengambil serius perkara ini. Kami tetap disuruh datang bekerja walaupun kakitangan didapati positif dan ramai antara kami mempunyai kontak rapat.
“Kami mempunyai keluarga di rumah dan bimbang tentang keselamatan mereka juga. Apa yang kami minta ialah pengurus menutup pawagam sekurang-kurangnya lima hingga tujuh hari untuk kami menjalani kuarantin.
“Kami semua marah dan kecewa dengan keengganan mereka untuk menganggap perkara ini sebagai hal penting,” kata kakitangan berkenaan.
The Malaysian Insight difahamkan kes positif terbaharu direkodkan pada pagi hari ini.
Kes indeks melibatkan seorang tukang masak di pawagam dan dikesan pada 12 Februari. Setakat ini seramai lapan kakitangan sudah berjangkit.
“Kes pertama melibatkan tukang masak di bahagian penting (dapur).
“Dari situ dua hingga tiga lagi tukang masak diuji positif dan (virus) merebak kepada orang lain,” katanya.
Beliau berkata beberapa kontak rapat yang menerima arahan pengawasan di rumah melalui MySejahtera juga diarahkan untuk masuk bekerja.
Seorang pekerja lain berkata pihak pengurusan tidak memaklumkan ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat berkenaan kes terbaharu itu.
Beliau berkata CEO mengarahkan semua pekerja untuk mengambil ujian Covid-19 tahun lepas apabila seorang kakitangan dijangkiti.
“CEO mengambil serius perkara ini. Tahun lepas kami semua terpaksa menjalani ujian Covid-19 dan pawagam ditutup buat sementara waktu.
“Tetapi CEO datang untuk memeriksa dapur hari ini yang jelas menunjukkan beliau tidak dimaklumkan tentang situasi semasa,” katanya.
Kakitangan itu memberitahu The Malaysian Insight bahawa pekerja di pawagam tidak mempunyai akses kepada CEO untuk melaporkan perkara itu.
“Kami tidak boleh memberitahunya apa yang berlaku. Jika kami mempunyai cara, kami akan memberitahunya,” katanya.
Pengurus pawagam Ai Ling ketika dihubungi berkata pawagam yang terletak di Gardens Mid Valley itu masih beroperasi kerana kes hanya berlaku di kawasan dapur.
“Tidak perlu tutup seluruh pawagam kerana kes bermula dari dapur. Sebab itu hanya restoran kami sahaja yang tutup,” katanya.
Beliau juga berkata kakitangan yang dijangkiti tidak diminta bekerja sambil menambah mereka boleh kembali bekerja selepas ujian menunjukkan negatif.
“Tidak benar semua perlu bekerja. Jika mereka diuji negatif maka mereka boleh kembali bekerja,” katanya. – 18 Februari, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen