WALAUPUN mengalami kerugian lebih RM2 juta akibat pandemik Covid-19, Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPac) yang diasaskan pada 2006, dapat bertahan sepanjang dua tahun ini ats bantuan penaja, rakan kongsi dan penderma.
Bagaimanapun, pengasasnya Dr Faridah Merican dan Joe Hasham berkata masih perlu ada usaha daripada kerajaan untuk melindungi pusat seni utama menerusi pembiayaan langsung yang konsisten dan jangka panjang.
Perlu ada insentif untuk penderma, sama ada syarikat korporat atau individu, untuk mewujudkan persekitaran kondusif bagi seni persembahan diiktiraf dan diberi sokongan.
“Masyarakat benar-benar banyak membantu. Kami dapat bertahan atas budi penaja, rakan kerjasama dan penderma, semua orang memberi sumbangan, termasuk juga kumpulan teater dan artis,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Tetapi kerajaan perlu melabur dalam membangunkan penghargaan untuk seni dan artis,” kata Farida dan Joe, menggesa kerajaan menyesuaikan pembiayaan mengikut keperluan pusat seni dan artis.
Mereka bersyukur sepanjang pandemik, rakan kerjasama Yayasan Sime Darby dan penaja utama Mercedes-Benz Malaysia, Creador Foundation, JTI Malaysia, MR DIY, Cendana dan MyCreative Ventures, berada bersama-sama mereka.
Ini membolehkan KLPAC bertahan ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di mana semua persembahan dihentikan, sementara kakitangan dipotong gaji sehingga 60%.
“Kami tidak pernah berhenti bekerja, sama ada dalam usaha melobi bagi pembukaan semula atau latihan ketika PKP, supaya selepas sekatan berakhir, kami dapat terus memulakan persembahan dan mencari pendapatan,” kata mereka.
PKP dan sekatan berterusan menyedarkan betapa industri seni persembahan masih kurang mendapat sokongan. Masyarakat dan artis seni persembahan berasakan kerajaan tidak menunjukkan sokongan mencukupi kepada mereka.
Walaupun menerima tajaan dan sumbangan, KLPac tidak akan mampu pulih daripada kerugian dialami, kata Faridah dan Joe.
“Jumlah sebenar kerugian lebih tinggi kerana perniagaan ini masih belum kembali, dengan ada persembahan terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan ke tarikh lain,” kata mereka.
Mereka berkata pemulihan untuk industri ini akan mengambil masa yang panjang dan perlahan walaupun pusat itu sudah dibuka semula pada Oktober 2021, hanya persembahan kecil dapat diadakan dengan jumlah kapasiti yang rendah.
Mereka masih mengalami masalah kewangan yang sangat meruncing, dengan minimum RM130,000 diperlukan setiap bulan untuk bertahan dan menampung kos operasi. Mereka memerlukan RM1.3 juta untuk bertahan pada tahun ini. – 19 Februari, 2022.
Komen