Guan Eng mahu Putrajaya lebih serius tangani lonjakan kes Covid-19


Noel Achariam

Lim Guan Eng persoal ketiadaan mesyuarat peringkat tertinggi mengenai Covid-19 sejak lebih 100 hari lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Februari, 2022.

PUTRAJAYA perlu berhenti mempolitikkan pandemik Covid-19 dan menggesa mesyuarat segera untuk menangani isu itu, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha agung DAP itu berkata kerajaan mesti serius dan mengambil perhatian terhadap jumlah jangkitan baharu yang tinggi, mempersoalkan mengapa tidak ada mesyuarat jawatankuasa kebangsaan tertinggi mengenai Covid-19 selama lebih 100 hari.

“Ismail (Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob) mesti serius dengan tugasnya sebagai pengerusi Jawatankuasa Khas Pandemik Covid-19 dengan memanggil mesyuarat.

“Atau beliau patut membubarkan jawatankuasa tidak berfungsi ini sebagai satu lagi wayang,” kata Lim dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas jumlah tinggi kes Covid-19 dalam sehari tahun ini apabila Malaysia semalam mencatatkan 27,831 jangkitan baharu.

Kes kumulatif kini berjumlah 3,111,514 dan dengan 21 kematian semalam menjadikan jumlah kematian kepada 32,180.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata ketidakcekapan yang ketara menunjukkan kegagalan berterusan dalam menguruskan wabak oleh pentadbiran Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

“Kegagalan bersiri berulang, yang terdiri daripada pusingan U prosedur operasi standard (SOP) dan dasar serta berat sebelah.

“Ini termasuk penguatkuasaan dan pematuhan antara VIP dan rakyat serta pemimpin yang tidak komited terhadap tugas mereka.”

Lim berkata sudah tiba masanya kerajaan berhenti mempolitikkan Covid-19 dan mencontohi negara lain yang membenarkan normalisasi kehidupan awam dan aktiviti komersial dengan pematuhan SOP termasuk mandat pemakaian pelitup muka.

“Walaupun kita mesti tegas terhadap Covid-19 dan bahayanya, kita tidak mahu diperintah sehingga kehidupan dan mata pencarian kita terganggu oleh wabak virus yang beransur-ansur menjadi endemik seperti selesema biasa.

“Kita mesti menerima, menyesuaikan diri dan tidak takut untuk hidup bersama dengan Covid-19 seperti dilakukan oleh kebanyakan negara jiran kita.”

Beliau menambah, walaupun terdapat rekod kes, terdapat kurang kebimbangan berikutan vaksinasi hampir lengkap terhadap populasi dewasa dengan 65.3 juta dos diberikan dan bilangan kes teruk yang rendah.

“Daripada 27,831 kes hanya 0.35% atau 97 kes berada dalam kategori teruk iaitu 3-5. Dua negeri lagi (Kuala Lumpur dan Johor) merekodkan kadar penggunaan ICU Covid-19 melebihi 50%.

“Kerajaan harus meletakkan lebih banyak sumber untuk meningkatkan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 jika peningkatan jangkitan memerlukan kadar kemasukan ke hospital yang lebih tinggi.”

Lim juga berkata Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, penyandang Menteri Besar Johor Hasni Mohammad serta Presiden MIC S. Vigneswaran yang dilihat bertemu sekumpulan ahli politik pada acara MIC di Johor baru-baru ini, adalah jelas melanggar SOP Covid-19.

“Sebagai menteri yang mempengerusikan mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 yang diamanahkan untuk menggesa pematuhan orang ramai dalam mengurus dan mengumumkan SOP, Hishamuddin kini menjadi individu yang ingkar undang-undang.

“Kekurangan tanggungjawab peribadi atau defisit akauntabiliti awam ini turut melibatkan Ismail yang tidak memanggil sebarang mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Covid-19 sejak mesyuarat terakhir pada 5 November 2021,” tambahnya. – 17 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen