UK beri vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak 5-11 tahun


UK akan menawarkan suntikan vaksin Covid-19 kepada semua kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun di negara itu. – Gambar AFP, 17 Februari, 2022.

SEMUA kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun di England akan ditawarkan vaksin Covid-19, kata kerajaan United Kingdom (UK) pada Rabu.

Langkah itu dibuat hampir dua bulan selepas pengawal selia British meluluskan vaksin Pfizer dan BioNTech untuk digunakan dalam kalangan kumpulan umur itu, menyaksikan Britain mengikut jejak langkah Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan negara lain.

Ia hanya memberi vaksin kepada kanak-kanak bawah 12 tahun yang berisiko dan mereka yang lemah imun, menggunakan formulasi lebih rendah yang didapati “selamat dan berkesan”.

Bagaimanapun, Setiausaha Kesihatan Sajid Javid berkata beliau kini menerima panduan daripada Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi, yang menasihati jabatan kesihatan UK, untuk memperluaskan kempen pemberian vaksin.

“NHS (Perkhidmatan Kesihatan Negara) akan bersedia untuk melanjutkan tawaran tidak mendesak ini kepada semua kanak-kanak pada April supaya ibu bapa boleh, jika mereka mahu, menerima tawaran meningkatkan perlindungan terhadap potensi gelombang Covid-19 akan datang sambil kita belajar untuk hidup dengan virus ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Javid menambah keutamaan tetap menawarkan vaksin dan penggalak kepada orang dewasa dan remaja yang berisiko, dengan berkata kanak-kanak tanpa masalah kesihatan berisiko rendah mendapat penyakit serius akibat koronavirus.

Beberapa jam sebelum itu, Menteri Pertama Nicola Sturgeon mengumumkan Scotland juga akan mula memberi suntikan vaksin kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, manakala Wales mengumumkan dasar yang sama sehari sebelumnya.

Ireland Utara juga mengikutinya pada Rabu.

AS adalah negara besar pertama yang memulakan suntikan bawah 12 tahun pada November dan berkata bulan lalu ia memberi vaksin kepada lebih 8 juta kanak-kanak.

Pfizer dan BioNTech mengumumkan awal bulan ini sedang mendapatkan kebenaran kecemasan daripada pengawal selia kesihatan AS untuk menggunakan vaksin mereka bagi kanak-kanak berumur lebih 6 bulan dan bawah 5 tahun.

Sementara itu, badan pemerhati ubat-ubatan Kesatuan Eropah meluluskan vaksin firma itu untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun pada November, dan beberapa negara EU mula memberi vaksin pada bulan berikutnya.

Negara lain di seluruh dunia, termasuk Israel, China, Argentina, juga mula memberikan vaksin kepada golongan umur itu.

Bagaimanapun, beberapa negara seperti Sweden memilih untuk menentang langkah itu, terus mengesyorkan suntikan hanya untuk kanak-kanak berisiko.

Sementara itu, Afrika ketinggalan dalam memvaksin populasi dewasanya.

Hanya lebih 11% penduduk Afrika diberi vaksin, kadar terendah di dunia, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia. – AFP, 17 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen