SELEPAS sekian lama jadi orang nombor dua, Ahmade Mohd Din memutuskan ini masanya untuk mara merebut tempat lebih utama dalam politik pada Pilihan Raya Negeri Johor tidak lama lagi.
Beliau memutuskan begitu biarpun akan berdepan dengan wakil rakyat dua penggal Andrew Chen, yang sebelum ini dia bantu berkempen di Stulang pada pilihan raya lepas.
Pada 2018, Ahmade antara yang menyertai Bersatu selepas melihat kesan skandal 1Malaysia Development Berhad kepada negara.
Tidak tahan dengan isu pemilikan tanah yang ditangani kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu yang mahu mengambil beberapa kampung terakhir Melayu di Johor Bahru untuk pembangunan kondominium mewah, Ahmade dan sahabat karibnya Azif Ishak jadi sukarela membantu kempen Pakatan Harapan.
Biarpun berjaya menumbangkan BN di Johor, Ahmade berkata tidak banyak yang berubah semasa pentadbiran PH.
“Yang paling bagusnya, PH memperbaharui pajakan 99 tahun kampung Melayu di sini. Pada masa itu, kampung macam Dato Sulaiman Menteri ini hanya tinggal 30 tahun saja lagi,” katanya.
Masalah lain seperti pampasan untuk setinggan yang dipindahkan atau tambakan tanah kubur di Kampung Batu Arang tidak dapat dijalankan, tambahnya.
“Tempoh 22 bulan PH tidak cukup.”
Tetapi bukan itu yang menjengkelkan Ahmade yang berkempen untuk Chen meraih undi Melayu di Stulang.
“Biarpun membantu PH menang, saya rasa pandangan saya untuk menyelesaikan beberapa masalah tidak dipeduli. Saya sedar sekarang untuk perubahan berlaku, saya mesti ada kuasa sendiri,” katanya.
Menurut Ahmade, tindakan Bersatu keluar dari PH membuka peluang itu, biarpun langkah itu tidak dia jangka.
“Selepas Bersatu keluar, saya pun keluar parti dan masuk Pejuang. Sebab Pejuang bukan sebahagian daripada PH, saya boleh tanding Stulang,” katanya.
Ahmade bagaimanapun mengaku Stulang bukan antara 42 kerusi yang akan ditandingi Pejuang. Namun dia berharap parti akan menimbang tawarannya.
“Mereka minta saya tanding Larkin, Machap atau Puteri Wangsa tetapi saya tolak. Saya orang sini dan selama ini duduk di sini. Menang atau kalah biar di sini,” katanya.
Berjuang dengan Pejuang
Ahmade, 55, percaya ini masanya yang terbaik untuk bertanding.
“Stulang kerusi majoriti Cina, selama-lama ini calon Cina bertanding dan pengundi di sini semangat hendakkan wakil rakyat Melayu untuk tukar angin.
“Kalau DAP dan MCA dan mungkin Gerakan letak calon di sini, undi akan pecah dan saya boleh mencelah,” katanya sambil ketawa kecil.
Kerusi Stulang ditandingkan kali pertama pada 1995 dan dimenangi oleh MCA empat kali berturut sehinggalah kebangkitan pembangkang pada 2013.
Pada tahun itu, Chen yang berasal dari Sarawak menang dengan majoriti 3,296 undi. Bersama Bersatu pada 2018, Chen mempertahankan Stulang selepas menambah majoriti menjadi 12,470 undi.
Pada pilihan raya lepas, Stulang mempunyai 45,551 pengundi terdiri daripada 55% Cina, 40 Melayu dan 5% India.
Ahmade berharap daripada menarik sokongan dalam kalangan 16,375 pengundi baharu yang terdiri daripada pengundi 18 tahun dan mereka yang didaftarkan secara automatik.
“Mereka ini pengundi baharu dan tidak tahu macam mana mereka akan mengundi,” katanya, yang kini penyelaras Pejuang di Johor Bahru.
“Dengan pengundi tambahan ini maknanya peluang saya sama baik dengan orang lain, malah lebih daripada Gerakan, sekiranya mereka tanding di sini.”
Untuk kali pertama dalam hidupnya, Ahmade tidak lagi mahu jadi orang nombor dua.
“Takkanlah hendak jadi jentera parti seumur hidup,” katanya. – 17 Februari, 2022.
Komen