Mahkamah Singapura tolak rayuan semakan hukuman mati rakyat Malaysia


Elill Easwaran

Peguam Lawyers for Liberty N. Surendran yang mengesahkan berita itu kepada The Malaysian Insight berkata Mahkamah Tinggi Singapura telah menolak permohonan semakan kehakiman hukuman mati rakyat Malaysia Pausi Jefridin dan warga Singapura Roslan Bakar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Februari, 2022.

MAHKAMAH Rayuan Singapura telah menolak permohonan untuk semakan kehakiman terhadap hukuman mati rakyat Malaysia Pausi Jefridin dan warga Singapura Roslan Bakar.

Peguam Lawyers for Liberty N. Surendran yang mengesahkan berita itu kepada The Malaysian Insight berkata, peguam negara republik itu kini sedang meminta kos hukuman terhadap peguam pembelaan.

“Jumlah itu belum diputuskan lagi tetapi mahkamah mengarahkan hujah mengenainya.

“Ia adalah untuk menghukum peguam Singapura yang memfailkan cabaran,” kata Surendran.

Sementara itu, Peguam M.Ravi berkata beliau telah memfailkan satu lagi permohonan mengenai cara hukuman mati dilaksanakan di Singapura selain pelbagai pelanggaran hak untuk hidup dan layanan tidak sama rata di republik itu.

“Perbicaraan ditetapkan pada pagi esok pukul 9.30 pagi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Pausi, dari Sabah, dan Roslan, mempunyai IQ rendah, didapati bersalah mengedar dadah.

Menurut wartawan Singapura Kirsten Han, dokumen mahkamah menunjukkan IQ Pausi dinilai pada tahap 67.

Mereka didapati menyeludup diamorphine seberat 96.07g dan methamphetamine seberat 76.37g pada 2010.

Selain Pausi, seorang lagi rakyat Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam, turut dijatuhkan hukuman mati.

Nagaenthran didiagnosis kurang upaya intelek dan mempunyai IQ 69, yang lebih rendah daripada purata.

Beliau memfailkan dua permohonan bulan lalu dalam usaha untuk membatalkan hukuman matinya.

Mahkamah Rayuan Singapura dijadualkan memberikan keputusannya pada akhir bulan ini. – 16 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen