PENJUALAN tiket penuh untuk Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura akan disambung semula berkuat kuasa serta merta, kata Wee Ka Siong.
Menteri pengangkutan berkata penjualan dibenarkan disambung semula berdasarkan penilaian risiko Covid-19 terkini.
Tambahnya tiada had kapasiti namun perjalanan bas hanya akan disambung semula mulai 22 Februari.
“Kementerian Pengangkutan Malaysia ingin memaklumkan bahawa penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif VTL antara Malaysia-Singapura (laluan udara dan darat) ini dibuka semula sepenuhnya, iaitu 100 peratus daripada kapasiti bas dan penerbangan, berkuat kuasa serta-merta.
“Keputusan ini berdasarkan penilaian risiko semasa dan persetujuan ole pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Penjualan tiket bas dan penerbangan untuk VTL digantung buat sementara waktu pada 23 Disember kerana ancaman Omnicron tetapi ditarik balik sebahagiannya pada 21 Januari.
Ketika itu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kuota dikurangkan sebanyak 50 peratus daripada kapasiti sedia ada. – 16 Februari, 2022.
Komen