MALAYSIA merekodkan jumlah kes Covid-19 tertinggi dalam sehari sejak wabak bermula dengan 27,831 kes Covid-19 hari ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ini merupakan peningkatan ketara berbanding 22,133 kes jangkitan semalam.
Dr Noor Hisham berkata jumlah kumulatif kes kini 3,111,514.
Ketua Pengarah Kesihatan berkata majoriti kes adalah dalam kategori tidak teruk dengan 7,606 kes dalam Kategori 1 dan 20,128 dalam Kategori 2.
Manakala 97 berada dalam Kategori 3 (59 kes), 4 (28) dan 5 (10).
Noor Hisham berkata negara perlu bersama-sama menghadapi gelombang Omicron ini dengan mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP).
“Banyak negara di rantau kita menunjukkan trend menaik. Sila dapatkan vaksin dan dapatkan dos penggalak anda untuk melindungi diri anda dan orang tersayang,” tulisnya menerusi Twitter.
Pecahan kes mengikut negeri akan dimuat naik di portal CovidNow Kementerian Kesihatan selepas tengah malam.
Berdasarkan laman web CovidNow, lebih 13.4 juta orang, atau 57.3% daripada populasi dewasa di negara ini, telah menerima dos penggalak mereka setakat semalam.
Lebih 22.9 juta orang, atau 97.5% orang dewasa, telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala lebih daripada 23.2 juta orang (98.7%) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, lebih daripada 2.7 juta individu, atau 89.9%, telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala lebih 2.8 juta individu (92.5%) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Semalam, sebanyak 154,776 dos vaksin telah diberikan.
Ini menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kepada lebih 65.3 juta. – 16 Februari, 2022.
Komen