SPR perlu usaha bantu pengundi pos PRN Johor, kata Teo


Noel Achariam

PRN Johor akan diadakan pada 12 Mac, dengan hari penamaan calon pada 26 Februari manakala mengundi awal 8 Mac. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Februari, 2022.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) perlu menggandakan usaha dalam membantu pengundi pos pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Teo Nie Ching.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata SPR perlu menyediakan peluang untuk semua pengundi Johor yang tidak dapat pulang untuk mengundi, dapat mendaftar sebagai pengundi pos.

“Mereka diberikan masa hingga Jumaat untuk mendaftar.

“Notis singkat seperti itu mungkin menyebabkan pengundi tidak tahu yang perlu perlu berdaftar sebagai pengundi pos,” katanya dalam satu kenyataan.

Teo berkata SPR perlu mendedahkan berapa ramai pengundi mendaftarkan diri sebagai pengundi pos untuk PRN Johor.

“Saya menggesa SPR dedah berapa ramai pengundi pos yang berjaya berdaftar untuk bukti yang proses ini dalam pengetahuan umum.

“Jika tidak ramai yang mendaftar sebagai pengundi pos, SPR perlu melanjutkan tarikh akhir itu,” katanya.

PRN Johor akan diadakan pada 12 Mac, dengan hari penamaan calon pada 26 Februari manakala mengundi awal 8 Mac.

Daftar pemilih menunjukkan 5.8 juta pengundi berdaftar, susulan pelaksanaan pendaftaran pengundi automatik dan Undi18.

Sebanyak 2,597,742 pengundi – iaitu 2,574,835 pengundi biasa, 10,955 anggota tentera dan pasangan, 11,576 anggota polis dan pasangan serta 376 pengundi di luar negara.

Teo berkata pihaknya turut menerima banyak aduan di mana pengundi mengalami pelbagai masalah teknikal untuk mendaftar sebagai pengundi pos di laman web SPR.

“Antaranya ialah tidak dapat memuat naik gambar kad pengenalan, tidak dapat memilih tarikh lahir dan ada yang mengambil masa dua tiga hari untuk membuat akaun di laman web itu.

“Masalah teknikal ini menyebabkan pendaftaran tidak dapat dilengkapkan dan SPR patut bertanggungjawab atas masalah ini.

“SPR patut menyediakan beberapa pusat pengundi di luar negara, terutama di Singapura,” katanya. – 16 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen