Ahli Parlimen DAP gesa Putrajaya beri tempoh jelas buka sempadan


Putrajaya perlu mengumumkan jadual pembukaan semula sempadan dengan Singapura berdasarkan protokol ditetapkan. – Gambar AFP, 16 Februari, 2022.

PUTRAJAYA perlu mempunyai perancangan yang jelas dan diselaraskan bagi pembukaan semula sempadan dengan selamat sambil mengimbangi keperluan melindungi kesihatan serta keselamatan rakyat, kata ahli Parlimen DAP.

Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata ini memandangkan negara lebih sedar mengenai keberkesanan pelbagai campur tangan kesihatan awam, pembukaan sempadan perlu dikaji semula.

Mereka berkata ia susulan pemahaman yang lebih baik mengenai virus.

“Putrajaya sepatutnya mengumumkan jadual untuk pembukaan semula sempadan dengan Singapura berdasarkan protokol ditetapkan.

“Ini termasuk lorong perjalanan vaksinasi (VTL) dan pengiktirafan bersama sijil vaksinasi digital bagi kedua-dua negara,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Mereka berkata kesan positif ekonomi daripada pembukaan semula sempadan negara dengan Singapura juga penting terutamanya bagi sektor riadah dan pelancongan.

“Adalah jelas negara lain sedang menuju ke fasa endemik pemulihan Covid-19.”

Mereka mengulas Majlis Pemulihan Negara (PMN) yang mengesyorkan negara segera membuka semula sempadannya untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi.

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, yang mempengerusikan majlis itu, berkata sempadan boleh dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac manakala syarat kuarantin boleh dibatalkan.

“Bagaimanapun, seseorang mungkin masih perlu menjalani ujian Covid-19 sebelum dan selepas memasuki negara ini.”

“Pembukaan sempadan negara perlu dilaksanakan dengan betul dan berdasarkan penilaian risiko semasa. Terma dan syarat lain akan diumumkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.

Ahli Parlimen berkata perlu ada komunikasi yang betul antara Kabinet, MPN dan semua menteri mengenai arahan apabila sempadan dibuka.

“Kita faham Kabinet sepatutnya mempunyai kata putus mengenai isu utama seperti perjalanan bebas kuarantin ke negara ini.

 “Cara pengumuman ini dikendalikan menunjukkan kurangnya penyelarasan dan komunikasi antara pengerusi MPN, Perdana Menteri (Ismail Sabri Yakoob) dan menteri utama Kabinet.”

Mereka berkata, sudah pasti keputusan membuat cadangan pembukaan semula sempadan boleh dimaklumkan oleh Muhyiddin kepada Ismail Sabri lebih awal supaya garis masa yang jelas dan proses serta prosedur yang betul dapat disediakan untuk persediaan pembukaan semula sempadan seperti itu.

“Kurangnya komunikasi dan penyelarasan yang betul mungkin menyebabkan ramai rakyat Malaysia dan mungkin warga asing juga membuat aturan perjalanan untuk masuk dan keluar dari negara ini pada Mac dengan memikirkan perjalanan tanpa kuarantin akan dilaksanakan tidak lama lagi.”

Mereka menambah apabila menteri kanan seperti Hishamuddin Hussein (Pertahanan) secara terbuka mempersoalkan keputusan yang diumumkan dan disyorkan oleh MPN, kuasa dan keberkesanan MPN sudah pasti akan dipersoalkan.

“Apatah lagi apabila perdana menteri dilihat memperlekehkan pengumuman pengerusi MPN.”

Pada 8 Februari lalu, Hishamuddin berkata sempadan Malaysia hanya akan dibuka semula selepas perbincangan dengan Kementerian Kesihatan dan Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan serta Jabatan Imigresen.

Beliau berkata hasil perbincangan ketiga-tiga pihak itu kemudiannya akan diperhalusi oleh kuartet menteri Covid-19 sebelum dibawa ke Kabinet atau jawatankuasa khas menangani Covid-19 yang dipengerusikan perdana menteri. – 16 Februari, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen