7% populasi kanak-kanak di Malaysia terima dos pertama


Sebanyak 246,869 atau 7% populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun dalam negara mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Februari, 2022.

SEBANYAK 246,869 atau 7% populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun dalam negara mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data di laman web Covidnow, sebanyak 13,486,823 atau 57.3% populasi dewasa dalam negara pula menerima dos penggalak Covid-19; sejumlah 22,939,377 individu atau 97.5% (lengkap vaksinasi), manakala 98.7% atau 23,216,096 (sekurang-kurangnya satu dos).

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,796,605 individu atau 89.9% daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,877,213 atau 92.5% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Semalam, sebanyak 154,776 dos vaksin diberikan meliputi dos pertama sebanyak 42,374 termasuk 39,749 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, dos kedua (1,657) dan dos penggalak (110,745) menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin diberikan di bawah PICK meningkat kepada 65,356,763 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, sebanyak 31 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Sabah melaporkan lapan kes, Selangor (tujuh kes), Johor (enam kes), Pulau Pinang (lima kes), Kedah (dua kes) dan masing-masing satu kes di Perak, Negeri Sembilan dan Terengganu. – Bernama, 16 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen