NGO Islam mahu cabar keputusan Mahkamah Persekutuan kes tukar agama anak


Noel Achariam

Gerakan Pembela Ummah memutuskan akan memfailkan semakan kehakiman dalam kes Indira Gandhi. Keputusan itu dibuat selepas perbincangan meja bulat dihadiri hampir 200 orang termasuklah Timbalan Presiden Isma Aminuddin Yahaya (kiri) dan Pengerusi Ummah Ismail Mina Ahmad (tengah) hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Februari, 2018.

SEBUAH pergerakan masyarakat sivil Islam mahu memfailkan semakan kehakiman ke atas keputusan Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan penukaran agama tiga anak M. Indira Gandhi.

Keputusan itu dicapai dalam perbincangan meja bulat antara Presiden Persatuan Peguam Syariah Malaysia Musa Awang, bekas Ketua Hakim Negara Ahmad Fairuz, Pengerusi Ummah Ismail Mina Ahmad dan Mufti Pahang Abd Rahman Osman di Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah Aminuddin Yahaya berkata keputusan Mahkamah Persekutuan itu perlu disemak semula kerana ia tidak selaras dengan Perlembagaan yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Gerakan Pembela Ummah adalah gabungan 200 kumpulan pergerakan masyarakat sivil Islam yang ditubuhkan tahun lepas.

Aminuddin berkata keputusan Mahkamah Persekutuan memberikan kuasa eksekutif kepada mahkamah sivil untuk masuk campur dalam isu berkaitan mahkamah Syariah.

“Nampaknya tidak lama lagi mahkamah Syariah akan dianggap kurang penting berbanding mahkamah sivil,” katanya selepas mesyuarat tertutup dihadiri hampir 200 orang di KL International Hotel.

Minggu lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan yang keputusan diambil Riduan Abdullah untuk menukar agama tiga anak pasangan itu kepada Islam tanpa persetujuan Indira adalah tidak sah dan terbatal.

Lokasi bekas suaminya dan anak bongsunya, Prasana sehingga kini tidak diketahui.

Aminuddin Yahaya juga mahukan Majlis Raja-Raja mengeluarkan kenyataan mengenai kes itu kerana ia melibatkan kepentingan awam termasuklah bidang kuasa mahkamah Syariah dan kedudukan Islam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Februari, 2018.

Aminuddin juga berkata mereka mahu mendapatkan penjelasan frasa “ibu bapa” selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa penukaran agama anak perlu mendapat kebenaran kedua-dua ibu bapa.

Katanya, keputusan itu seolah-olah kedudukan kehakiman lebih berbanding legislatif apabila mahkamah berkuasa untuk melemahkan apa sahaja pindaan dibuat ke atas Perlembagaan berkaitan Syariah.

“Itulah kesan keputusan itu. Jadi kami mahu Mahkamah Syariah diberikan lebih banyak kuasa,” kata Aminuddin.

Aminuddin juga berharap yang Majlis Raja-Raja menilai isu itu kerana ia mempunyai kepentingan awam.

“Kami harap mereka akan keluarkan kenyataan untuk mengurangkan pengasingan Islam.”

Menyentuh isu Riduan yang mengambil anak bongsu pasangan itu, Aminuddin berkata mereka tidak bersetuju dengan tindakan itu kerana ia “tidak Islamik”.

“Anak itu masih bersama ayahnya jadi keputusan terletak kepada mahkamah Syariah sekarang (untuk putuskan) jika dia masih Islam atau tidak.

“Tetapi dalam kes ini, mahkamah sivil sudah memutuskan yang tiga anak Indira bukanlah Islam.

“Biarkan majlis Islam tentukan sama ada mereka Islam atau tidak.”

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun sudah menasihati orang awam supaya tidak mengeluarkan spekulasi kes itu kerana polis sedang berusaha mengesan Riduan dan Prasana yang kini berusia sembilan tahun.

Fuzi juga memberi amaran yang kes ini adalah sensitif, dan sebarang andaian boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan negara. – 7 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen