MCA percaya formula kestabilan dan ekonomi Barisan Nasional (BN) yang sudah teruji akan membantu parti itu memulihkan semula maruah dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang.
Jika perkara berjalan seperti dirancang, Setiausaha MCA Johor Ng Keng Heng memberitahu The Malaysian Insight yang parti itu boleh memenangi sebanyak enam kerusi.
Antara kerusi yang disasarkan MCA untuk ditawan semula ialah Yong Peng dan Pekan Nanas.
Yong Peng berada di bawah kawasan Parlimen Ayer Hitam, yang dimenangi oleh presiden parti Dr Wee Ka Siong pada pilihan raya umum 2018 manakala Pekan Nanas di bawah kawasan Parlimen Tanjung Piai.
Walaupun MCA kehilangan kerusi Tanjung Piai pada 2018, ia memperoleh semula kerusi itu setahun kemudian semasa pilihan raya kecil, dengan pengundi Pekan Nanas memainkan peranan besar dalam kemenangan itu.
Pada pilihan raya 2018, MCA kalah kesemua 15 kerusi DUN yang ditandinginya. Ia merupakan prestasi terburuk sejak 2008 dan pilihan raya 2013 apabila menang 12 dan dua kerusi DUN.
“Penguncian Covid-19 menyukarkan wilayah selatan, terutamanya Johor,” kata Ng semasa temu bual di pejabat baharu parti itu di Jalan Kebun Teh.
Ng yang merupakan pembekal aksesori kereta, berkata syarikat kecil di sekitar Johor Baru khususnya hilang banyak perniagaan, kerana tiada lagi pelancong Singapura pada hujung minggu.
Justeru, Ng berkata BN dan MCA bersedia membantu Johor pulih daripada kerugian ekonomi yang dibawa oleh wabak.
Selama bertahun-tahun, rakyat Singapura merupakan lebih 35% daripada ketibaan pelancong di Malaysia.
Pada 2019, sebanyak 10.16 juta daripada 26.1 juta ketibaan adalah dari republik pulau itu.
Tetapi disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan antarabangsa, jumlah itu menurun lebih 80% kepada hanya 1.55 juta pada 2020.
Walaupun hujung minggu, pusat membeli-belah yang terletak di sekitar Coronation Square di pusat bandar Johor Baru berhampiran Tambak, seperti Komtar JBCC, JB City Square dan lain-lain, hampir kosong tanpa kehadiran pelancong Singapura.
“Kerajaan negeri yang stabil akan membantu memulihkan ekonomi Johor dengan menyediakan peluang perniagaan lebih baik,” kata Ng.
Slogan “kerajaan stabil” oleh BN juga digunakan dalam pilihan raya Melaka dan membantu gabungan itu memenangi 21 daripada 28 kerusi di DUN akhir tahun lepas.

Najib bukan lagi faktor
Faktor penyumbang utama kekalahan BN di Putrajaya dan Johor pada PRU14 ialah perdana menteri ketika itu Najib Razak dan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Bolehkah MCA membuat kemunculan semula di Johor?
Ng percaya ia boleh, kerana pengundi tidak lagi marah dengan Najib dan skandal 1MDB.
“Beliau datang ke Johor sejak kebelakangan ini dan ke mana sahaja beliau pergi pasti ramai yang mendekatinya.
“Saya percaya kebanyakan pengundi tidak lagi marah seperti pada 2018,” kata ketua Bahagian Kota Tinggi itu.
Beliau berkata MCA tidak mempunyai isu dengan Najib dan bersedia mengalu-alukan semua termasuk Najib.
Ng berkata satu lagi sebab yang menyakinkan MCA di negeri ini adalah perubahan kepimpinan dalam parti kaum Cina itu.
“Wee menjadi presiden pada 2018 dan sejak itu terdapat banyak perubahan.”
Dengan menteri pengangkutan sebagai ketua negeri, Ng berkata mereka mula bergerak lebih pantas.
“Berbanding sebelum ini, MCA Johor lebih bertindak sekarang. Kami sedang menyelesaikan isu pada kadar lebih pantas dan membina rangkaian lebih baik,” kata lelaki berusia 55 tahun itu. – 16 Februari, 2022.
Komen