PUTRAJAYA dan Filipina setuju untuk saling mengiktiraf sijil vaksinasi Covid-19 kedua-dua negara.
“Pelancong dari Malaysia kini dibenarkan masuk ke Filipina dengan bukti sijil vaksinasi lengkap di MySejahtera manakala pengembara dari Filipina dibenarkan masuk ke Malaysia dengan bukti sijil vaksin lengkap di VaxcertPH,” kata Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan hari ini
Ia berkata persetujuan itu dicapai pada Isnin.
Ia menambah kemasukan pelancong juga tertakluk kepada prosedur kuarantin semasa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa di kedua-dua negara.
Kerajaan dan Filipina juga bersetuju untuk meneruskan kerjasama ke arah mengesahkan kesahihan sijil vaksinasi Covid-19 kedua-dua negara secara dalam talian dengan sistem lebih selamat dan terjamin bagi memudahkan laluan masuk pengembara yang divaksin lengkap.
Semalam, tujuh rakyat Malaysia terkandas di lapangan terbang di Manila selepas kelayakan vaksin Covid-19 digital mereka tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa Filipina.
Mereka disekat masuk ke republik itu dan diberitahu sijil vaksin digital Malaysia dalam aplikasi MySejahtera bukanlah bukti vaksinasi yang boleh diterima.
Pengembara yang terlibat memberitahu media Malaysia pasport mereka dirampas dan diberitahu akan dihantar pulang esok, dan mereka terpaksa tinggal di lapangan terbang sementara kerana tiada kemudahan hotel akan disediakan.
Berikutan tindakan pantas kedutaan Malaysia, mereka kemudiannya dibenarkan masuk.
“Wisma Putra dengan sukacitanya memaklumkan tujuh rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino dibenarkan memasuki Filipina, susulan tindakan pantas oleh kedutaan Malaysia di Manila. Kudos team @myembassymanila,” tulis Kementerian Luar Negeri di Twitter. – 15 Februari, 2022.
Komen