Ketua CID Alor Gajah ditahan SPRM


Muzliza Mustafa

SPRM menjalankan operasi besar-besaran membersihkan kontijen polis Melaka, setakat ini sudah 13 orang ditahan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2017.

KETUA CID polis Alor Gajah pula ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tengahari tadi, menjadikan dia ketua CID kedua yang ditahan untuk membantu siasatan rasuah.

Penangkapan terbaru itu berlaku selepas SPRM sebelum ini menahan ketua polis Melaka Tengah dan Jasin serta ketua CID Melaka Tengah.

Keempat-empat mereka, bersama 9 yang lain, ditahan dalam operasi besar-besaran SPRM atas dakwaan melindungi operasi pusat urut dan judi haram di Melaka.

Suspek terbaru, pegawai berusia 51 tahun yang berjawatan timbalan superintendent ditahan di pejabatnya di Melaka pada jam 10.45 pagi sebelum dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk soal siasat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad mengesahkan penahanan itu.

Difahamkan yang suspek akan direman esok untuk membantu siasatan. 

Isnin lepas, SPRM menahan ketua CID Melaka Tengah.

Dia ialah suspek ke 12 ditahan SPRM.

Suruhanjaya pencegahan rasuah itu setakat ini merampas RM1.44 juta dalam bentuk wang tunai dan akaun bank dalam operasinya di Melaka.

Daripada jumlah itu, RM800,000 dirampas dari sebuah bilik store rumah milik korporal polis sementara RM79,000 lagi dari rumah ketua polis daerah Melaka Tengah.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata yang rombakan besar-besaran akan dilakukan di kontijen polis Melaka nanti.

Sehingga kini, 15 anggota polis kontijen Melaka sudah dipindahkan dalam rombakan dalaman itu.

Lebih banyak rombakan akan dilakukan, kata Khalid.

Khalid akan bertemu dengan anggota kontijen polis Melaka pada Jumaat ini, lawatan kerja pertamanya selepas operasi besar-besaran SPRM minggu lepas.

Sembilan anggota polis antara yang ditahan SPRM dalam operasi itu. Setakat ini seramai 13 orang ditangkap untuk membantu siasatan. – 24 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen