AS nasihat rakyatnya tangguh perjalanan ke Korea Selatan


Korea Selatan dikategorikan Tahap 4 iaitu berisiko "sangat tinggi" berikutan laporan jangkitan Covid-19 yang semakin membimbangkan. – Gambar EPA, 15 Februari, 2022.

AMERIKA Syarikat (AS) semalam menasihatkan rakyatnya menangguhkan perjalanan ke Korea Selatan berikutan laporan jangkitan Covid-19 semakin membimbangkan, lapor agensi berita Yonhap. 

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS memaklumkan bahawa Korea Selatan dikategorikan Tahap 4 iaitu berisiko “sangat tinggi”, termasuk lima negara dan wilayah lain - Azerbaijan, Belarus, Comoros, Polinesia Perancis, serta Saint Pierre dan Miquelon. 

“Jika anda perlu ke Korea Selatan, pastikan anda lengkap menerima vaksin dan dikemas kini vaksin Covid-19 anda sebelum melakukan perjalanan.

“Walaupun lengkap divaksin, anda masih berisiko mendapat dan menyebarkan virus berkenaan,” menurut CDC menerusi laman sesawangnya.

Kini, hampir 140 negara di seluruh dunia dikategorikan Tahap 4 oleh CDC.

Jabatan Negara AS turut meningkatkan tahap amaran perjalanan ke Korea Selatan kepada “Tahap 4: Jangan Melancong.” 

Pada Isnin, Korea Selatan melaporkan 54,619 jangkitan baharu berikutan penularan pantas varian omicron di seluruh negara. – Bernama, 15 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen