PENGUMUMAN hari ini yang mengatakan polis sudah menahan seorang suspek berkaitan dengan penculikan Pastor Raymond Koh menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan, kata keluarga pastor itu.
Paling utama ialah: Mengapa keluarga pastor tidak dimaklumkan terlebih dahulu? Siapakah suspek tersebut?
Awal hari ini, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mengumumkan yang polis sedang menyiasat kehilangan pastor itu dan sudah menahan seorang suspek dari utara minggu lepas.
Pengumuman KPN hari ini dikeluarkan selepas desakan daripada gabungan pertubuhan masyarakat sivil, Citizen Action Group on Enforced Disappearence (Caged), dan keluarga Koh yang meminta bantuan antarabangsa untuk mendesak Putrajaya supaya mengeluarkan kenyatan tentang siasatan polis setakat ini.
Seorang jurucakap untuk keluarga Koh memberitahu The Malaysian Insight yang mereka tidak akan mengeluarkan ulasan sehingga mereka mendapatkan maklumat lebih lanjut. Jurucakap itu berkata yang tiada sesiapa yang memberitahu mereka tentang penahanan yang dikatakan berlaku minggu lepas.
“Seperti rakyat Malaysia yang lain, ini kali pertama kami mendengar tentangnya. Sangat pelik kerana tiada pengumuman dikeluarkan ketika suspek itu ditahan minggu lepas,” kata jurucakap itu.
Dalam pengumuman tentang penahanan suspek yang ada kaitan dengan kehilangan Koh, Khalid mengatakan yang polis juga sedang menyiasat dakwaan tentang Koh yang didakwa cuba menukar agama orang Islam.
“Kami perlu siasat. Bukan hanya tentang penculikan tetapi juga laporan yang dia (Koh) menukar agama orang Islam,” katanya tanpa menjelaskan lanjut.
Polis hari ini juga memanggil tiga orang aktivis untuk siasatan tentang kenyataan mereka tentang “kehilangaan paksaan” berkaitan dengan Koh dan tiga aktivis lain.
Tiga orang aktivis lagi- Thomas Fann dari Engagae, Sevan Doraisamny dari Suaram dan Rama Ramanathan dari Bersih- juga disoal tentang kemungkinan wujudnya campur tangan asing dalam penubuhan Caged, yang bermatlamatkan untuk mencari jawapan kepada kehilangan empat aktivis sebelum ini.
Thomas, Sevan dan Rama ialah ahli Caged.
Khalid berkata masyarakat tidak sepatutnya mengeluarkan dakwaan liar yang pihak berkuasa dan kerajaan terlibat dalam kehilangan Koh tanpa ada bukti.
“Jangan buat tuduhan tanpa bukti. Sekiranya ada, datang dan berikan kepada kami.”
Koh diculik daripada keretanya di Petaling Jaya pada 13 Febuari lepas oleh 15 orang lelaki dalam tiga SUV hitam. Penculikan itu yang berlaku di siang hari, kelihatan dilakukan secara tersusun dan profesional.
Joshua Hilmy, pastor berketurunan Melayu, dan isterinya Ruth juga hilang pada 30 November tahun lepas, sementara Amir Che Mat juga hilang pada malam 24 November selepas memberitahu anak perempuannya yang dia akan keluar. – 24 Mei, 2017.
Komen