Kami bukan mahu lawan dengan Pakatan, kata Syed Saddiq 


Alfian Z.M. Tahir

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata partinya tiada niat untuk berlawan dengan Pakatan Harapan dan musuh utamamnya adalah Umno-Barisan Nasional.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Februari, 2022.

PRESIDEN Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi jaminan kepada Pakatan Harapan bahawa musuh utama parti itu ialah Umno-Barisan Nasional.

Ahli Parlimen Muar itu berkata pihaknya tidak berhasrat untuk berlawan dengan PKR, DAP atau Amanah pada pilihan raya negeri Johor walaupun khabar angin mengatakan parti itu cuba berbuat demikian dengan PH.

“Adalah penting untuk kita mengetahui siapa kawan dan musuh kita. Semasa Muda ditubuhkan, kita sudah jelaskan mahu merombak sistem politik negara,” katanya.

“Musuh kita ialah Umno-Barisan Nasional dan kita akan lawan mereka bersama-sama,” kata Syed Saddiq semasa pelancaran jentera PH di Johor.

Bekas menteri belia dan sukan itu berkata pembangkang mesti mengalahkan BN bagi memastikan tiada lagi pilihan raya negeri.

Beliau berkata Umno menggunakan Johor sebagai medan ujian mereka dan jika menang, Syed Saddiq menambah kemungkinan parti Melayu itu akan mengadakan pilihan raya di Perak dan Sabah.

“Mereka mendakwa mahukan kestabilan dalam menggesa pilihan raya negeri sedangkan apa yang mereka mahu sebenarnya ialah merebut kuasa,” katanya.

“Kita perlu hentikan dan ia mesti bermula dengan Johor. Jika mereka menang mereka akan teruskan di Perak dan Sabah. Sebab itu kita perlukan titik persamaan untuk bekerjasama.

“Umno hanya berbohong apabila mereka menjadikan kestabilan sebagai alasan untuk mengadakan pengundian sedangkan merekalah yang menyebabkan ketidakstabilan bermula dengan Langkah Sheraton dengan bersekongkol dengan Muhyiddin Yassin.

“Johor adalah benteng pertahanan kita yang terakhir. Kita mesti berusaha untuk memenangi pilihan raya ini,” kata Syed Saddiq.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk pilihan raya Johor pada 12 Mac.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata penamaan calon dijadualkan pada 26 Februari, manakala pengundian awal akan diadakan pada 8 Mac.

Pilihan raya negeri diadakan selepas kerajaan negeri meminta DUN dibubarkan, dengan perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. – 14 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen