NEGARA melaporkan 21,315 kes baharu Covid-19 setakat tengah hari ini, peningkatan berbanding semalam dengan 21,072 jangkitan.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kebanyakan jangkitan baharu berada dalam kategori tidak bergejala (6,200 kes) dan gejala ringan (15,028 kes).
Sementara itu, hanya 87 kes berada dalam kategori 3, 4 dan 5.
Jumlah kumulatif jangkitan sejak pandemik melanda kini sebanyak 3,061,550.
Jumlah kes harian telah meningkat sejak 10 hari lepas.
Kadar jangkitan semasa negara kini pada kadar 1.43.
Pecahan kes mengikut negeri akan dimuat naik di portal CovidNow Kementerian Kesihatan selepas tengah malam.
Sementara itu sebanyak 22,936,644 individu atau 97.5 peratus daripada populasi telah melengkapkan vaksinasi, manakala 98.7 peratus atau 23,212,859 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi remaja berumur antara 12 dan 17 tahun, seramai 2,795,507 atau 89.8 peratus populasi golongan ini telah melengkapkan vaksinasi, manakala 2,874,510 atau 92.3 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Semalam, sebanyak 118,875 dos vaksin telah diberikan, melibatkan 35,441 dos pertama, 649 dos kedua dan 82,785 dos penggalak, menjadikan jumlah dos vaksin yang diberikan di bawah program imunisasi sebanyak 65,042,686. – 14 Februari, 2022.
Komen