Azam hanya berdalih tidak mahu mengadap jawatankuasa Parlimen, kata wakil rakyat


Azam Baki dalam wawancara dengan media terpilih yang disiarkan semalam berkata beliau hanya dijemput PSC dan bukannya disapina. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Februari, 2022.

ALASAN Azam Baki untuk tidak mengadap Jawatankuasa Pilihan Khas bagi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (PSC) tidak kukuh apabila mengatakan beliau bukannya disapina tetapi hanya dijemput, kata Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong.

Katanya, surat jemputan setiausaha Parlimen kepada pegawai kerajaan untuk hadir ke mesyuarat jawatankuasa pilihan khas adalah proses biasa, dan Azam pernah hadir dengan surat sama daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Oktober 2020.

“Kenapa pula sekarang tidak sama kerana PSC dan PAC berfungsi mengikut peraturan dan tatacara parlimen yang sama?” tanyanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khoo yang juga anggota PSC, yang mengeluarkan surat kepada Azam bulan lepas, berkata ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu sepatutnya berhenti daripada memberi alasan tidak kukuh untuk mengelak mengadap jawatankuasa parlimen.

Azam dalam wawancara dengan media terpilih yang disiarkan semalam berkata beliau hanya dijemput oleh PSC dan bukannya disapina. Katanya, beliau sedia hadir sekiranya dipanggil mengikut undang-undang.

Menurut Khoo, sama ada surat kepada Azam adalah jemputan atau sapina, ia bukanlah perkara yang penting kerana pihaknya lebih berminat untuk mengetahui tentang pemilikan sahamnya yang didakwa melanggar undang-undang dan peraturan penjawat awam.

“Ini adalah perkara yang mempunyai kepentingan awam yang perlu diberi perhatian segera. Jika tidak, integriti SPRM akan terus terhakis,” tambahnya.

Khoo berkata beliau akan meminta PSC mengeluarkan sapina kepada Azam mengikut Peraturan Dewan Rakyat dan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

“Selepas itu nanti, tidak sepatutnya ada lagi keraguan dari segi undang-undang atau teknikal. Sekiranya Azam terus enggan mematuhi sapina, beliau menghina Parlimen,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang berpendapat Azam hanya meyakinkan lebih banyak orang ada sesuatu yang mahu beliau sembunyikan apabila berdalih enggan mengadap PSC.

“Adakah Azam sedar yang beliau mencipta krisis keyakinan terburuk dalam sejarah agensi anti-rasuah negara,” soal veteran DAP itu.

Lim berkata jawatankuasa pilihan khas parlimen sepatutnya boleh menjadi ruang untuk Azam membersihkan namanya, tetapi beliau sebaliknya memilih untuk menambahkan lagi masalahnya. – 14 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen