KES aktif Covid-19 di negara ini kini 155,673 sementara kemasukan ke hospital akibat koronavirus juga bertambah daripada 55.1% hari sebelumnya kepada 58.2% semalam, lapor Kementerian Kesihatan (KKS).
Semalam, sebanyak 21,072 jangkitan baharu dilaporkan berbanding 5,724 kes pulih, sementara 11 kematian direkodkan.
Daripada kes baharu itu, 20,986 atau 99.59% dilaporkan kategori 1 dan 2.
Bagi kes aktif, 143,076 sedang menjalani kuarantin kendiri, sementara 6,118 di pusat kuarantin dan 6,292 dirawat di hospital.
Sementara itu, 1,635 kes kemasukan hospital dilaporkan semalam, meningkatkan kadar pesakit Covid-19 di hospital kepada 58.2%. Kadar kepenggunaan keseluruhan penuh bagi pesakit Covid-19 di hospital ialah 65.2%.
Penggunaan alat bantuan pernafasan pesakit Covid-19 berada pada 36.5%, sementara 55.1% kadar di unit rawatan rapi, di mana 22.2% membabitkan kes Covid-19.
Dilaporkan 351 pesakit dimasukkan ke hospital di Johor semalam, diikuti 332 di Selangor dan 264 di Sabah.
Kadar penggunaan katil hospital di Johor, termasuk bagi kes bukan Covid ialah 80%, tertinggi berbanding negeri dan wilayah lain di seluruh negara.
Sebanyak 6,456 kes jangkitan baharu dilaporkan di Lembah Klang, dengan Selangor (5,350), Kuala Lumpur (1,001) dan Putrajaya (105).
Sabah melaporkan kes kedua tertinggi semalam dengan 3,891 jangkitan, diikuti Johor (2,419) yang dijadualkan mengadakan pilihan raya negeri pada 12 Mac.
Negeri dan wilayah lain yang melaporkan kes jangkitan baharu semalam ialah Kedah (1,841), Pulau Pinang (1,566), Kelantan (1,208), Pahang (1,099), Negeri Sembilan (983), Melaka (429), Perak (444), Terengganu (297), Sarawak (201), Perlis (129) dan Labuan (109).
Daripada 11 kematian dilaporkan, lima kes kematian di luar hospital, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 kepada 32,125.
Sabah melaporkan lima kes kematian, diikuti Johor (empat) dan Kelantan dan Pahang masing-masing satu kes. – 14 Februari, 2022.
Komen