LIMA belas penumpang dari Malaysia terkandas di Manila selepas pihak berkuasa imigresen Filipina mempersoalkan kesahihan sijil digital vaksinasi pada aplikasi MySejahtera, lapor The Star.
Mereka terdiri daripada 13 warga Malaysia dan dua rakyat asing yang ke Filipina atas urusan rasmi, peribadi dan kemanusiaan.
Mereka disekat masuk sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino 8,30 malam tadi melalui penerbangan dari Kuala Lumpur.
Laporan itu menyebut pihak berkuasa imigresen Filipina bagaimanapun membenarkan penumpang yang divaksin di Singapura atau United Kingdom.
“Pasport kami dirampas dan kami diberitahu akan dihantar pulang.
“Oleh sebab tiada hotel yang kosong, kami tidur di bangku dan lantai,” kata seorang penumpang yang tidak dinamakan, yang dipetik laporan berkenaan.
The Malaysian Insight difahamkan urusan 15 penumpang berkenaan sedang dikendalikan oleh pihak Kedutaan Malaysia di Manila.
Laporan The Star menyebut pihak kedutaan dan syarikat penerbangan Malaysia Airlines malam tadi berunding dengan pihak imigresen Filipina tetapi buntu.
Pihak Kedutaan Malaysia juga dilaporkan sudah berurusan dengan pihak imigresen Filipina mengenai isu pembuktian vaksinasi sejak republik itu membuka sempadannya kepada pengembara antarabangsa minggu lalu.
Filipina membuka pintu sempadannya sejak 10 Februari. – 14 Februari, 2022.
Komen