Khairy arah kompaun ke atas Hishammuddin, pemimpin BN


Ravin Palanisamy

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata mereka akan didenda kerana melanggar prosedur operasi standard Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2022.

KEMENTERIAN Kesihatan mengesahkan akan mengeluarkan kompaun ke atas para menteri dan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang hadir di satu acara didakwa melanggar kawalan pandemik.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kompaun itu dikenakan ke atas Menteri Kanan Hishammuddin Hussein, Menteri Besar Johor Hasni Mohamad dan Presiden MIC SA Vigneswaran.

Selain itu, pemimpin utama BN dan juga penganjur acara pelancaran Briged MIC Johor juga akan dikenakan kompaun sama, kata Khairy dalam kenyataan di Twitter.

“Saya telah mengarahkan pegawai KKM Putrajaya untuk keluarkan kompaun kepada Hishammuddin, Hasni, Vigneswaran, pemimpin utama yang hadir dan penganjur di bawah Akta 342,” katanya.

Tambahnya kementerian juga akan terus mengawasi pematuhan prosedur kawalan pandemik itu sepanjang proses PRN Johor mengiktu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Khairy semalam menyebut, SOP bagi proses PRN Johor lebih longgar berbanding kawalan sewaktu PRN Sarawak dan Melaka, walaupun jumlah jangkitan Covid-19 semakin meningkat.

Jelasnya, ia berdasarkan kajian ke atas kesan varian Omicron ke atas kesihatan awam dan juga memandangkan negara mencapai kadar vaksinasi yang tinggi.

Menurutnya, kementerian sudahpun memutuskan SOP tersebut dan akan ia akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya tidak lama lagi.

Beliau bagaimanapun menegaskan SOP perlu dipatuhi sepanjang proses PRN Johor, terutama oleh pemimpin politik bagi mengelakkan sebaran Covid-19.

PRN Johor ditetapkan berlangsung pada 12 Mac dan penamaan calon pada 26 Februari manakala pengundian awal pada 8 Mac. – 13 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen