AHLI Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa rakyat Johor di luar negara mendaftar sebagai pengundi pos jika mereka tidak dapat pulang ke tanah air untuk mengundi pada pilihan raya negeri akan datang.
Dalam klip video pendek, presiden Muda itu berkata hanya tinggal lima hari sahaja lagi sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menutup pendaftaran pengundi pos sebelum menjelaskan cara-cara mendaftar sebagai pengundi.
“Anda hanya akan mengambil masa lima minit, yang akan mengubah Johor selama lima tahun. Daftar sebagai pengundi pos sekarang. Hanya tinggal lima hari lagi. Rakyat Johor bertindak sekarang.”
“Lebih 100,000 rakyat Johor tinggal di Singapura. Untuk terbang pulang mahal, untuk membeli tiket bas, semuanya habis dijual tetapi anda boleh mengundi dengan mendaftar sebagai pengundi pos.”
“Ia semudah satu, dua, tiga. Daftar sekarang kerana perubahan di tangan anda,” kata Syed Saddiq dalam klip yang disiarkannya di Facebook hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian untuk pilihan raya negeri Johor akan datang.
Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata penamaan calon dijadualkan pada 26 Februari, manakala pengundian awal akan diadakan pada 8 Mac.
Pilihan raya negeri diadakan selepas kerajaan negeri meminta DUN dibubarkan, dengan perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Johor mempunyai 56 kerusi, namun kerusi Kempas masih kosong berikutan kematian Adunnya, Osman Sapian, tahun lalu.
Kematian Osman menjadikan kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional-Perikatan Nasional berbeza hanya satu kerusi majoriti dengan Pakatan Harapan.
Sebelum pembubarannya, dewan itu dianggotai Barisan Nasional (16 kerusi), Perikatan Nasional (12) dan Pakatan Harapan (27). – 13 Februari, 2022.
Komen