Putrajaya perlu gubal sukatan pendidikan seks, kata pesuruhjaya kanak-kanak


Aminah Farid

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam berkata pendidikan seks perlu diajar kepada semua kanak-kanak bagi mengelakkan kejadian seperti gadis yang dirogol dan kemudiannya membunuh bayi yang baru dilahirkannya di Kemaman baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2022.

KES seorang gadis berusia 15 tahun yang didakwa menikam bayinya yang baru lahir di Cukai, Kemaman baru-baru ini sekali lagi menunjukkan pentingnya pendidikan seks yang komprehensif, kata Profesor Noor Aziah Mohd Awal.

Dalam satu kenyataan, Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata sukatan pelajaran itu perlu dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Wanita, Pembangunan Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

“Sukatan pelajaran ini perlu diajar kepada semua kanak-kanak di semua sekolah kerajaan dan swasta,” katanya hari ini.

Noor Aziah berkata kerjasama dan penyelarasan yang lebih berkesan perlu dipupuk terutamanya dalam kalangan agensi kerajaan seperti KPM, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan KPWKM.

Ini supaya usaha menggalakkan kesedaran tinggi dalam kalangan kanak-kanak berhubung pendidikan itu melalui pelbagai medium, termasuk media sosial, katanya.

Justeru Noor Aziah menggesa Putrajaya melaksanakan program berkesan dalam menyediakan sokongan emosi kepada semua remaja dan gadis hamil dalam persekitaran yang selamat.

“KKM perlu hebah perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya keluarga remaja/perempuan hamil lebih bersedia untuk menangani situasi tersebut,” katanya.

Pesuruhjaya itu berkata, difahamkan gadis itu adalah mangsa rogol, dan keluarganya tidak menyedari bahawa dia hamil, kerana dia telah lari dari rumah.

Noor Aziah berkata, gadis itu berhenti sekolah sejurus selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan kerana kekurangan akses kepada pembelajaran dalam talian.

“Pejabat kami dimaklumkan gadis itu kini berada di bawah tahanan polis dan kini di lokap polis.”

“Walaupun CC sedar kes itu sedang disiasat, menahan seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun yang baru bersalin jelas bukan untuk kepentingan terbaik kanak-kanak itu.”

Suruhanjaya itu berkata ia berpendapat pendekatan yang diambil dalam menangani kanak-kanak yang bercanggah dengan undang-undang harus selaras dengan Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) yang mana Malaysia adalah Parti.”

“CC percaya bahawa gadis itu pasti mengalami keadaan kesihatan mental yang mengerikan yang menyebabkan dia bertindak sedemikian.”

Noor Aziah berkata, paling penting gadis itu perlu terlebih dahulu diberi rawatan selepas bersalin yang sewajarnya termasuk rawatan psikologi sebelum proses pendakwaan. – 13 Februari, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen