KES AKTIF Covid-19 negara hampir melepasi paras 150,000 hari ini selepas jangkitan baharu mengatasi kes sembuh.
Semalam Malaysia melaporkan 22,802 kes baharu berbanding 5,442 kes pulih, menjadikan jumlah kes aktif kini 140,336.
Sebanyak 15 kematian berkaitan Covid direkodkan semalam.
Antara kes baharu, 22,698 atau 99.54 peratus berada dalam kategori kurang teruk iaitu 1 dan 2.
Daripada kes aktif, 127,984 (91.2%) kuarantin di rumah, 6,254 (4.5%) di pusat kuarantin dan 5,922 (4.2%) di hospital.
Kadar penggunaan katil hospital juga dilaporkan meningkat.
Semalam seramai 1,747 orang dimasukkan ke hospital kerana Covid-19.
Kadar penggunaan katil hospital meningkat sedikit kepada 66% daripada 65.9% sehari sebelumnya, manakala kadar guna katil kes Covid meningkat daripada 51.8% kepada 55.1%.
Penggunaan ventilator adalah pada kadar 36%, manakala penghunian unit rawatan rapi (ICU) pada 53.9%, di mana 20.9% daripadanya merupakan pesakit Covid-19.

Selangor mencatatkan bilangan kemasukan paling ramai dengan 374, diikuti Johor (327) dan Sabah (295).
Negeri dan wilayah lain yang melaporkan kemasukan baharu ialah Perak (128), Sarawak (90), Kelantan (81), Negeri Sembilan (77), Pahang (71), Kedah (55), Pulau Pinang (47), Melaka (29), Perlis (28), Terengganu (25) dan Labuan (6).
Penggunaan katil hospital di Melaka, termasuk kes bukan Covid, adalah pada 80%, tertinggi di Malaysia.
Kadar kemasukan ke hospital menunjukkan tahap keterukan virus. Penggunaan hospital termasuk penghunian katil serta bilangan pesakit di ICU dan ventilator.
Sementara itu, daripada 22,802 kes baharu, 7,303 atau 32% dilaporkan di Lembah Klang, terdiri daripada Selangor (6,136), Kuala Lumpur (1,043) dan Putrajaya (124).
Sabah melaporkan jumlah jangkitan baharu kedua terbanyak semalam dengan 4,107 kes, diikuti Johor, yang dijadualkan mengadakan pilihan raya negeri pada 12 Mac dengan 3,238 kes.
Negeri dan wilayah lain yang melaporkan kes baharu ialah Kedah (1,629), Pulau Pinang (1,574), Kelantan (1,274), Pahang (1,063), Negeri Sembilan (731), Melaka (656), Perak (503), Terengganu (270), Sarawak (186), Perlis (139) dan Labuan (129).
Daripada 15 kematian yang dilaporkan, lima diklasifikasikan maut sebelum sampai hospital (DOA).
Angka kematian kini sebanyak 32,114, di mana 6,488 adalah DOA.
Johor dan Perak masing-masing mencatatkan empat kematian, Kelantan dan Terengganu masing-masing dua, manakala Kedah, Melaka dan Sabah masing-masing satu.
Dua kes DOA dilaporkan di Johor dan masing-masing satu di Kedah, Kelantan dan Sabah.
Kadar kematian virus adalah pada 0.2%, manakala purata dua minggu untuk kematian virus adalah 37 bagi setiap 10 juta orang. – 13 Februari, 2022.
Komen