KEPUTUSAN Kementerian Sumber Manusia untuk mengutamakan pengambilan pembantu rumah warga asing mengelirukan kerana Malaysia sepatutnya memberi perhatian lebih kepada strategi pembinaan semula industri yang kini terjejas teruk, kata Maria Chin Abdullah.
Memetik data Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Maria berkata Malaysia memerlukan lebih 600,000 pekerja asing pada 2022 bagi mengatasi isu kekurangan pekerja yang dihadapi pelbagai industri bagi membawa semula perniagaan ke tahap sebelum pandemik tercetus.
Katanya industri elektrik dan elektronik (E&E), makanan dan minuman, kimia dan produk kimia, produk besi dan getah antara lima sub sektor pengilangan yang paling teruk berdepan kekurangan pekerja.
“Walaupun secara idealnya pekerja ini diharapkan diisi pekerja tempatan, ia tidak berlaku.
“Ini juga mencerminkan salah padan antara permintaan pasaran untuk pekerja dan graduan pendidikan kita.
“Selain upah ditawarkan terlalu rendah untuk pekerja, industri juga enggan bertindak balas sewajarnya serta kerajaan tidak memainkan peranan mereka untuk mengekang masalah ini,” kata wakil rakyat PKR itu dalam satu kenyataan.
Menggunakan contoh peniaga di pasar Petaling Jaya, Maria berkata cubaan mereka untuk menggaji pekerja tempatan gagal dan desakan supaya kerajaan bertindak juga tidak membuahkan hasil.
Malaysia merancang mengambil 10,000 pembantu rumah dari Indonesia.
Bagaimanapun, rancangan itu tertangguh seketika apabila majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara dua negara yang dijadualkan pada 7 dan 8 Februari lalu ditunda. – 12 Februari, 2022.
Komen