22,802 kes baharu Covid-19, tertinggi sejak Ogos 2021


Kumulatif kes Covid-19 kini berjumlah 3,019,163, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Februari, 2022.

KEMENTERIAN Kesihatan melaporkan 22,802 kes baharu Covid-19 hari ini, tertinggi sejak 26 Ogos.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada kes baharu itu, 22,698 atau 99.54% adalah kategori 1 dan 2.

Dalam pada itu, 104 atau 0.46% adalah di bawah kategori lebih serius iaitu 3, 4 dan 5.

Sebahagian besar jangkitan baharu berada di bawah kategori 2.

Pecahan kes baharu mengikut kategori adalah seperti berikut: Kategori 1 (5,092 kes), Kategori 2 (17,669), Kategori 3 (82), Kategori 4 (14) dan Kategori 5 (8).

Malaysia kini melaporkan peningkatan kes harian selama sembilan hari berturut-turut sejak 4 Februari lalu.

Noor Hisham berkata, kumulatif kes kini berjumlah 3,019,163.

Pecahan kes mengikut negeri akan dimuat naik di portal CovidNow selepas tengah malam.

Sementara itu, berdasarkan laman web CovidNow, seramai 13,068,547 individu atau 55.8% daripada populasi dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak setakat semalam.

Sebanyak 22,935,622 individu atau 98% orang dewasa telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 99.2% atau 23,211,391 individu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. – 12 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen