INDIVIDU yang menerima dos vaksin utama (pertama dan kedua) jenama Sinovac kini boleh mendapatkan dos penggalak tanpa janji temu di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) “offsite” di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mulai 14 Februari.
Dalam satu kenyataan hari ini, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd berkata mereka yang layak menerima dos penggalak dan hanya mahu vaksin Sinovac boleh merujuk kepada senarai PPV “offsite” atau luar tapak di www.protecthealth.com.my.
Langkah itu dibuat selepas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata minggu lalu yang semua penerima vaksin Sinovac kini dibenarkan memilih keluaran yang sama bagi dos penggalak mereka.
Beliau berkata ini dibenarkan bagi menangani keraguan terhadap vaksin Pfizer dan AstraZeneca.
Khairy berkata terdapat kira-kira 3.5 juta penerima vaksin Sinovac yang masih belum mendapatkan suntikan penggalak mereka.
“Bagaimanapun, KKM masih mengesyorkan penggalak Pfizer untuk penerima Sinovac kerana ia menawarkan tahap perlindungan lebih tinggi,” tambah ProtectHealth dalam kenyataan itu. – 12 Februari, 2022.
Komen