SEORANG ahli Dewan Undangan Negeri yang akan keluar dari DAP mahu pengundi memikirkan kembali niat merosakkan undi mereka sebagai tanda protes, sebaliknya meminta mereka mempertimbangkan menyokong parti politik lain.
Adun Tanjung Bungah Teh Yee Cheu berkata pilihan raya memberikan peluang terbaik untuk rakyat menyuarakan pandangan dan kebimbangan mereka.
Berbanding memboikot pilihan raya atau merosakkan undi mereka, lebih baik pertimbangkan pilihan lain, katanya.
“Pertimbangkan pilihan lain untuk tunjuk kepada dua pakatan (politik) utama. Saya galakkan mereka mengundi berbanding merosakkan undi mereka,” katanya pada sidang media di pusat khidmat Adunnya hari ini.
Wujud kempen bagi memboikot atau memprotes pilihan raya akan datang, terutama sekali di media sosial oleh rakyat yang berputus harap dengan persekitaran politik negara serta Barisan Nasional dan Pakatan Harapan. Mereka menggunakan tanda pagar #UndiRosak, #SpoiltVote, #ProtesPRU and #GEProtest bagi menyatakan protes mereka.
Parti politik menyuarakan kebimbangan tentang kempen ini.
Teh yang sudah menjadi Adun selama dua penggal merancang keluar DAP sebaik sahaja Dewan Rakyat dibubarkan.
Beliau kebelakangan ini dilihat rapat dengan ahli Parti Rakyat Malaysia (PRM). Seorang ahli PRM, Chew Seng Tung turut hadir pada sidang media hari ini.
Tetapi Teh mengatakan beliau masih tidak memutuskan parti manakah akan disertainya selepas keluar DAP.
“Masih tiada keputusan…tetapi sejak dahulu lagi PRM baik dengan DAP. Ada juga orang PRM yang berucap di ceramah dengan DAP,” katanya menambah yang beliau tidak akan menyertai BN atau parti kecil baru ditubuhkan di negeri itu.
Kekecewaan Teh dengan DAP disebabkan beberapa isu yang diperjuangkannya seperti alam sekitar, hak transgender dan membataskan pelantikan ketua menteri hanya dua penggal.
Beliau bertelingkah dengan pemimpin partinya serta rakan politik yang lain dalam isu tersebut sejak beberapa tahun lalu. – 7 Februari, 2018.
Komen