PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berazam untuk membawa perubahan kepada Malaysia, walaupun ia mengambil masa, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Presiden Muda itu berkata partinya menetapkan misi untuk membawa perubahan dan pembaharuan walaupun berdepan halangan pilihan raya berulang kali.
“Sudah tiba masanya untuk mencuba taktik baharu, iaitu berhenti berfikir untuk menang satu pilihan raya, kerana proses mengubah Malaysia bukanlah untuk memenangi satu pilihan raya untuk lima tahun akan datang; walaupun skeptik dan pesimis mengatakan rakyat Malaysia tidak bersedia untuk parti berbilang kaum dan agama, terutamanya jika ia mahu mengalahkan Umno.
“Jika semua ini benar, maka lebih kuat alasan Muda untuk tidak mengikut pendekatan politik diamalkan selama ini bagi mengubah hati dan fikiran Malaysia.
“Tidak kira betapa sukarnya, kami akan menunjukkan bahawa kepelbagaian perlu diterima dan bukan ditoleransi,” kata ahli Parlimen Muar itu pada pelancaran rasmi Muda di Kuala Lumpur.
Parti itu bersedia membuat penampilan sulung dalam pilihan raya Johor yang menyaksikan akan bertanding enam kerusi dan mempertimbangkan untuk meletakkan calon di tiga kerusi ditawarkan PKR.
Syed Saddiq mengakui bukan mudah untuk Muda bertapak.
Beliau menggesa semua ahli dan pemimpin parti menyumbang untuk menjadikan Muda sebuah parti hebat yang mencapai sasarannya dalam “membaik pulih” landskap politik Malaysia.
“Anda tahu jalan ke hadapan adalah panjang dan sukar tetapi apabila anda memilih Muda, ia menunjukkan anda melabur bukan dalam pilihan raya umum akan datang tetapi merombak demokrasi Malaysia serta mengubah negara demi kebaikan, menetapkan semula Malaysia.
“Jika kita kalah satu atau dua pilihan raya, itu demokrasi. Tetapi semangat perjuangan kita untuk membaik pulih Malaysia menjadi sebuah negara maju dan bermaruah dengan integriti tidak akan berakhir dengan kekalahan dalam pilihan raya.
“Kita bersama dalam perkara untuk jangka masa panjang. Kita berjuang selama beberapa dekad akan datang kerana menyelamatkan dan berjuang demi Malaysia adalah berbaloi,” tambahnya. – 12 Februari, 2022.
Komen