HOSPITAL swasta tidak mencatatkan kes pesakit Covid yang kritikal sejak tiga bulan lalu walaupun jumlah jangkitan harian semakin meningkat.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Dr Kuljit Singh berkata sejak November, fasiliti penjagaan kesihatan swasta hanya menerima kes koronavirus kategori 1 dan 2, dan itu atas permintaan pesakit sendiri.
“Kesemuanya dibiayai sendiri kerana kebanyakan insurans (polisi) masih tidak termasuk Covid-19, terutamanya kes ringan.
“Kami melihat perbezaan yang besar dalam keterukan kes (sekarang) berbanding Ogos 2021 apabila jumlah kes yang dilaporkan lebih 22,000 dan hampir setiap hospital swasta, khususnya di Lembah Klang, tidak mempunyai katil di wad dan ICU Covid-19,” kata Kuljit dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata hospital swasta mempunyai katil yang mencukupi untuk membantu kerajaan pada bila-bila masa bantuan diperlukan.
“Hospital swasta mempunyai katil yang mencukupi untuk menerima pesakit bukan Covid-19 dan rawatan berbanyar pesakit Covid-19 berdasarkan kapasiti dan keupayaan hospital swasta individu tersebut,” katanya.
Kuljit menambah, hospital swasta sentiasa berhubung dengan Pasukan Petugas Tindak Balas Pantas Covid-19 Kebangsaan Kementerian Kesihatan dalam isu penyediaan.
Semalam menyaksikan 24 kematian akibat jangkitan, sembilan daripadanya diklasifikasikan sebagai kes kematian di luar hospital, kata Kementerian Kesihatan.
Kedah melaporkan lima kematian, Sabah dan Johor (4), Perak dan Pahang (3), Negeri Sembilan (2), dan Selangor, Terengganu dan Perlis (1).
Angka kematian berjumlah 32,099 orang.
Lembah Klang menyumbang 5,582 daripada jumlah keseluruhan 20,939 jangkitan baharu semalam. – 12 Februari, 2022.
Komen