5 pegawai Mara beri keterangan kepada SPRM


Lima pegawai Mara hari ini hadir beri keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya bagi membantu siasatan berkaitan isu integriti dan salah guna kuasa membabitkan Mara Corp. – 11 Februari, 2022.

LIMA pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini hadir memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya bagi membantu siasatan berkaitan isu integriti dan salah guna kuasa membabitkan anak syarikat agensi itu, Mara Corporation (Mara Corp).

Mereka, yang merupakan antara 17 individu dikenal pasti bagi membantu siasatan kes itu, tiba di ibu pejabat SPRM pada kira-kira 3 petang secara berasingan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu.

“(Mereka) akan dilepaskan setelah tamat percakapan. Mereka dipanggil untuk dirakam keterangan,” katanya.

Pada Sabtu lepas, SPRM dilaporkan menerima laporan berhubung isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu.

Pada Ahad lepas, lima individu yang dikaitkan dengan dakwaan salah laku membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi menafikan pembabitan mereka.

SPRM menyerbu ibu pejabat Mara, Mara Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat pada Isnin lepas dan antara yang dirampas ialah kertas cadangan serta minit mesyuarat lembaga pengarah, dokumen kewangan dan senarai gaji serta dokumen membabitkan sumber manusia. – Bernama, 11 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen