KEMENTERIAN Kesihatan berusaha untuk menyelesaikan pembedahan dan rawatan lain yang tertangguh sejak dua tahun lalu akibat Covid-19.
Semasa pandemik, rawatan ini telah ditangguhkan kerana doktor dan wad di hospital kerajaan telah dialihkan untuk mengendalikan kes Covid-19.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini berkata keadaan kembali normal secara beransur-ansur di hospital kerajaan.
Beliau berkata kementerian berjaya mengurangkan kes pembedahan dan perubatan tertunggak daripada 57,354 pada September tahun lepas kepada 37,963 pada Disember 2021.
“Kes urologi adalah salah satu perkhidmatan pakar yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Berdasarkan data yang dilaporkan, jumlah keseluruhan kes urologi tertunggak pada Oktober 2021 ialah 4,000 kes (3,809 kes bukan kanser, 191 kes kanser),” katanya pada sidang media di Hospital Selayang hari ini.
Khairy berkata, Kementerian Kesihatan juga memperhebat usaha mengurangkan jumlah kes elektif, berjaya mengurangkan 30.5% kes tertunggak sehingga Disember 2021 kepada 2,780 kes.
Katanya, ini termasuk 2,630 kes bukan kanser dan 150 kes kanser.
Menurutnya, Hospital Selayang telah memulakan inisiatif pembedahan yang melibatkan pembedahan urologi iaitu endoskopi Percutaneous Nephrolithotomy (PCNL).
“Ini akan dilakukan secara berterusan selama empat hari sehingga hujung minggu dan melibatkan petugas kesihatan dari pelbagai hospital kerajaan dan swasta.
“Seramai 11 pakar urologi terlibat dari Hospital Selayang, Hospital Serdang, Hospital Pengajaran UPM, dan hospital swasta iaitu Hospital KPJ Damansara, Hospital KPJ Sentosa dan Hospital Avisena.
“Inisiatif ini juga hasil kerjasama pelbagai jabatan seperti Bius, Radiologi, Patologi, pengurusan hospital serta sokongan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Bahagian Pembangunan Perubatan.”
Tambahnya, pada masa sama pengurusan kes bukan Covid-19 lain turut diberi perhatian melalui penggemblengan tenaga kerja di hospital bukan Covid-19 serta hospital daerah.
Ini, katanya, dilakukan melalui pelaksanaan inisiatif hospital kluster dan inisiatif pembedahan global (Rangka Kerja Pembedahan Global dan Ekosistem).
Khairy berkata bagi menangani isu kes bukan Covid-19 tertunggak, beberapa inisiatif juga telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan.
Ini termasuk penyumberan luar perkhidmatan kepada hospital swasta sejak awal wabak itu.
Beliau juga berkata pembukaan semula dewan pembedahan elektif di hospital Kementerian Kesihatan secara berperingkat telah bermula pada Oktober 2021. – 11 Februari, 2022.
Komen