Hormati status pelarian politik bekas utusan khas Bangladesh, kata peguam


Alfian Z.M. Tahir

Status pelarian bekas pesuruhjaya tinggi Bangladesh Mohamed Khairuzzaman sepatutnya menghalang beliau daripada dihantar pulang ke negara asalnya. – Gambar EPA, 11 Februari, 2022.

PUTRAJAYA mesti membebaskan bekas pesuruhjaya tinggi Bangladesh Mohamed Khairuzzaman daripada tahanan serta-merta dan menghentikan proses penghantaran pulang ke Dhaka, kata Lawyers for Liberty hari ini.

Ketua penyelarasnya Zaid Malek berkata status pelarian Mohamed sepatutnya menghalang beliau daripada dihantar pulang, sambil menambah Mohamed diberi perlindungan sebagai pelarian politik.

“Kerajaan perlu sedar Malaysia terikat dengan prinsip non-refoulement, prinsip utama undang-undang hak asasi manusia antarabangsa yang melarang pemulangan individu ke negara di mana mereka akan menghadapi penyeksaan, layanan atau hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan, atau bahaya lain yang tidak boleh dipulihkan.

“Kami menggesa menteri dalam negeri dan kerajaan Malaysia untuk menghormati norma hak asasi manusia antarabangsa dan asas kemanusiaan dalam menangani kes ini.

“Perlu diingat organisasi antarabangsa yang boleh dipercayai telah merekodkan pembunuhan yang menyalahi undang-undang, kehilangan, penangkapan dan penahanan sewenang-wenangnya serta perbicaraan politik yang berakhir dengan hukuman mati yang kerap berlaku di Bangladesh,” kata Zaid.

Semalam Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mengesahkan penahanan Mohamed berdasarkan permintaan ekstradisi oleh negara asalnya.

“Tangkapan dibuat mengikut prosedur.

“Mengikut undang-undang, jika ada kesalahan, kami akan menangkapnya,” kata Hamzah.

Mohamed yang berusia 70 tahun adalah pesuruhjaya tinggi Bangladesh ke Malaysia dari 2007 hingga 2009.

Beliau diambil pihak berkuasa dari kediamannya di Ampang pada Rabu.

Beliau dilaporkan dikehendaki di negara asalnya atas sebab yang tidak didedahkan. Pasportnya telah dibatalkan pada 2009 dan dipanggil pulang.

Beliau bagaimanapun kekal di Malaysia selepas mendapat kad pelarian yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia bagi Pelarian di Kuala Lumpur.

Semalam, isteri Mohamed Rieta Rahman dilaporkan berkata adalah tidak selamat untuk suaminya dihantar pulang.

“Suami saya seorang yang terhormat, seorang duta gred A dan seorang lelaki yang tidak bersalah tanpa rekod jenayah,” katanya kepada FMT dalam panggilan telefon dari Amerika Syarikat, tempat beliau kini menetap bersama anaknya.

“Bangladesh tidak selamat untuk orang yang tidak bersama kerajaan sekarang. Beliau tidak akan dapat bertahan jika dihantar pulang,” katanya kepada portal berita itu. – 11 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen