PARTI Bangsa Malaysia (PBM) yang baru berusia dua bulan bersedia meneroka hubungan kerja dengan parti politik lain demi kemajuan negara, kata setiausaha agungnya Nor Hizwan Ahmad.
Beliau berkata parti itu – sebahagian besarnya terdiri daripada bekas ahli PKR – percaya untuk tidak melihat parti lain sebagai saingan.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight yang mereka sebaliknya perlu saling melengkapi dan membentuk perkongsian yang kuat.
“Mungkin parti politik lain yang baru ditubuhkan boleh menjadi kawan kami. Mungkin parti lama boleh menjadi kawan kami juga dan mungkin kita boleh mengambil peranan untuk saling melengkapi dan bukannya bersaing,” kata Nor Hizwan dalam satu temu bual.
“Dan jika mereka memainkan peranan dengan sewajarnya apabila bersatu dalam satu kumpulan, ia akan menjadi kumpulan yang paling kuat.”
Memetik keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 sebagai contoh, Nor Hizwan berkata tiada parti politik boleh bersendirian menang hebat dan membentuk kerajaan.
Beliau berkata era penguasaan parti politik tunggal sudah berakhir dan satu-satunya cara untuk memenangi pilihan raya adalah dengan bekerjasama dengan parti lain.
“Kami tidak berfikir untuk menjadi dominan; kami memikirkan untuk melengkapi parti politik lain,” katanya.
“Jadi ruang ini masih terbuka. Kita masih boleh bercakap dan kita akan cuba berbincang (dengan parti politik lain).
“Jika dilihat pada keputusan pilihan raya umum lalu, tiada mana-mana satu parti politik menang majoriti. Zaman itu sudah berakhir. Era parti politik dominan sudah berakhir.
“Tiada siapa boleh menjadi ‘abang besar’ dalam politik Malaysia. Rahsia (untuk menang) adalah kerjasama.”
Nor Hizwan berkata antara objektif utama PBM adalah untuk memastikan Malaysia tidak ketinggalan.
“Kita perlu fokus kepada kepentingan Malaysia dan masa depan. Jadi adalah sangat penting untuk kita meneroka ruang untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik, organisasi dengan hasilnya menjadikan Malaysia lebih baik berbanding Malaysia yang kita ada hari ini, ” katanya.
“Saya tidak kata Malaysia tidak bagus hari ini, tetapi ia boleh menjadi lebih baik.
“Apa pun caranya, bersama-sama kita membangunkan negara ini. Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang berkongsi aspirasi. Saya fikir itu adalah jalan ke depan untuk Malaysia.”
Beliau juga mengulangi yang buat masa ini, PBM akan menyokong kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Dikaitkan dengan PKR
PBM sentiasa dikaitkan dengan beberapa bekas pemimpin PKR yang keluar parti dan menyertai Bersatu terutama Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.
Azmin dan Zuraida pernah dilabel sebagai ahli puak “kartel” ketika berada dalam PKR.
Bagaimanapun, Nor Hizwan berkata tidak adil mengatakan parti itu ditubuhkan oleh golongan ini.
“Kalau nak kata PBM adalah serpihan kartel, kalau tengok barisan parti, bukan semua daripada parti lama saya, PKR,” katanya.
“Dalam parti ini, di peringkat negeri mahu pun di peringkat pusat, bukan semua daripada PKR. Ada juga ahli parti lain dan ada juga profesional yang bukan daripada mana-mana parti.”
Beliau berkata tidak mempedulikan komen sedemikian kerana pelabelan sebegitu adalah perkara biasa dalam politik.
“Kita tidak boleh ambil serius perkara ini. Bagi saya ia lucu,” katanya.
Nor Hizwan sendiri mempunyai kaitan rapat dengan Zuraida, sebagai bekas setiausaha politiknya.
Dilancarkan pada Disember lalu, PBM dijenamakan semula daripada Parti Pekerja Sarawak untuk menjadikannya sebuah parti bertaraf nasional.
Permohonan pertukaran nama diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan pada 27 Oktober tahun lalu.
Bekas pengerusi PKR Sarawak Larry Sng adalah presiden PBM manakala beberapa lagi pemimpin tertinggi parti itu sebelum ini bersama PKR.
Spekulasi juga berlegar yang Zuraida akan menyertai PBM tetapi beliau menolak dakwaan itu setakat ini.
Nor Hizwan berkata keanggotaan parti itu sudah melebihi 100,000, termasuk daripada Parti Pekerja Sarawak dan Penggerak Komuniti Negara, sebuah gerakan masyarakat sivil yang dimulakan oleh Zuraida. – 11 Februari, 2022.
Komen