SETIAUSAHA Agung Parti Bangsa Malaysia (PBM), Nor Hizwan Ahmad berhasrat untuk bertanding di Kuala Lumpur pada pilihan raya umum akan datang.
Nor Hizwan berkata beliau mengintai lima kerusi Parlimen di ibu negara, yang disandang parti lamanya, PKR.
“Sasaran saya ialah kerusi berbilang kaum di Wilayah Persekutuan.
“Jadi, kita boleh kecilkan skop kepada kerusi yang ditandingi PKR. Kita ada Wangsa Maju, Setiawangsa, Bandar Tun Razak, Lembah Pantai dan Batu,” katanya.
Pada PRU14, kerusi Wangsa Maju dimenangi oleh Dr Tan Yee Kew, Setiawangsa oleh Nik Nazmi Nik Ahmad, Lembah Pantai oleh Fahmi Fadzil dan Batu oleh P. Prabakaran.
Satu lagi, kerusi Bandar Tun Razak, dimenangi oleh Kamarudin Jaffar yang berpaling tadah kepada Bersatu pada 2020 melalui Langkah Sheraton yang menggulingkan kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH).
Pembelotan itu bersama bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali serta seorang lagi pemimpin PKR, Zuraida Kamaruddin, yang merupakan bos kepada Nor Hizwan.
Beliau sebelum ini merupakan setiausaha politik Zuraida dan presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang diasaskannya, dipanggil Penggerak Komuniti Negara (PKN).
Nor Hizwan berkata keahlian PBM sudah melebihi 100,000. Jumlah ini termasuk ahli PKN dan mereka yang datang dari Parti Pekerja Sarawak, yang pendaftaran dan namanya diambil alih PBM.
PBM diketuai oleh seorang lagi bekas pemimpin PKR iaitu bekas pengerusi PKR Sarawak Larry Sng.
Nor Hizwan berkata PBM sedang mencari ruang untuk memberi saingan sengit kepada PH.
Katanya ketika ini terdapat keretakan dalam kalangan parti komponen PH yang sebenarnya memberi keuntungan buat PBM.
“PH mungkin ada banyak undi tetapi kerana mereka goyah, di mana-mana sahaja (kerjasama mereka) goyah, maka ada peluang dan keadaan boleh bertukar arah.
“Saya akan buatkan PKR dan DAP susah untuk menang,” katanya menambah yang beliau mungkin menjadi calon dalam PRU15 yang perlu diadakan pada Julai 2023 atau lebih awal.
Peluang buat belia dan wanita
PBM akan membuka peluang buat belia dan wanita untuk bersinar dalam kancah politik, tambah Nor Hizwan.
Beliau merancang untuk meletakkan masing-masing 30% calon muda dan wanita daripada keseluruhan calon yang akan bertanding dalam PRU15 nanti.
“Kita akan pastikan gabungan 60% ini diletakkan di kerusi yang betul supaya mereka boleh menang.
“Kami tidak akan letak calon hanya untuk isi kuota yang kami janjikan. Kami akan letak mereka di kerusi boleh menang, supaya mereka boleh menang dan menjadi pemimpin yang dipilih oleh rakyat,” katanya.
Nor Hizwan juga berkata sudah tiba masanya untuk ahli politik veteran, yang dilabelnya sebagai “dinosaur” politik memberi peluang kepada generasi muda untuk memimpin.
“Saya tidak bersetuju yang orang muda adalah pemimpin masa depan. Anak muda patut memimpin sekarang.
“Cukuplah beri peluang kepada dinosaur politik. Sudah lama mereka jadi panglima perang yang mahu tentukan segala-galanya. Malah perkara yang berkaitan dengan anak muda ditentukan oleh orang yang tidak begitu muda.”
Bagaimanapun beliau berkata “dinasour politik” harus tetap ada kerana mereka ada peranan dan boleh berkongsi pengalaman.
“PBM cuma mahu beri peluang seimbang dan adil diberikan kepada pemimpin muda dan wanita,” tambahnya. – 11 Februari, 2022.
Komen