MMA gesa Kementerian Sumber Manusia selesaikan masalah tukang cuci hospital


Ravin Palanisamy

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Koh Kar Chai berkata Kementerian Sumber Manusia perlu ikut jejak Kementerian Kesihatan yang mengakui nasib tukang cuci hospital, malah perlu perbetulkan dasar yang menjadi punca kepada masalah mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2022.

KEMENTERIAN Sumber Manusia perlu campur tangan bagi menangani gaji rendah dan kontrak kerja tidak adil yang dihadapi pekerja pembersihan hospital awam, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata, kementerian itu perlu ikut jejak Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengakui nasib tukang cuci hospital, malah perlu perbetulkan dasar yang menjadi punca kepada masalah mereka.

“Kementerian Sumber Manusia harus campur tangan dan bertindak bagi memastikan kebajikan pekerja kontrak ini terjaga supaya mereka dilindungi daripada sebarang bentuk eksploitasi.

“Ia juga perlu pastikan sistem kontrak tidak disalahgunakan. Dasar pengambilan pekerja sama ada untuk jawatan tetap atau kontrak melalui syarikat perlulah adil dan telus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas tindakan kira-kira 30 ahli Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) yang turun berjumpa Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Selasa yang menggesa sistem kontrak dihapuskan.

Sistem kontrak telah diperkenalkan pada 1 Februari 1997, dan sejak itu pekerja pembersih hospital awam telah dibayar gaji minimum.

Jumlah itu ditetapkan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara melalui perjanjian kolektif, dan kemudiannya, oleh kerajaan di bawah Perintah Gaji Minimum 2012 apabila ia berkuat kuasa pada 2013.

Gaji minimum semasa mulai 2020 ialah RM1,200.

Selain memansuhkan sistem kontrak, NUHWHSAS turut menggesa semua tukang cuci hospital awam diserap sebagai penjawat awam sepenuh masa,  beri elaun Covid-19 dan berhenti daripada mengganggu kesatuan sekerja.

Dr Koh memuji Khairy kerana memberi jaminan untuk meneliti kesusahan yang dialami pekerja pembersihan itu.

Tambahnya, MMA menganggap perkara yang dibangkitkan NUHWHSAS itu sangat mengejutkan.

“Menurut laporan media berhubung isu itu, ada pekerja yang terpaksa bekerja di empat lokasi dalam satu hari manakala cuti tahunan yang diberikan kepada pekerja tidak setimpal dengan tempoh perkhidmatan mereka.

“Bagaimana seseorang boleh ada motivasi untuk maju atau berkembang dalam mana-mana organisasi jika tidak ada kenaikan gaji selama itu? Menteri Sumber Manusia perlu campur tangan dan bertindak menangani perkara ini,” katanya.

Dr. Koh berkata pekerja pembersihan adalah sebahagian daripada ekosistem penjagaan kesihatan malah perlu diiktiraf dan dihormati kerana peranan penting mereka.

Beliau berkata pembersih juga merupakan barisan hadapan dan memainkan peranan penting dalam pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit.

“Mereka tidak sepatutnya buat dua atau tiga kerja untuk menampung kehidupan,” katanya. – 10 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen