PBM umum letak dua calon PRN Johor


Ravin Palanisamy

PARTI Bangsa Malaysia (PBM) yang baru ditubuhkan akan meletakkan dua calon bagi bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, umum ketua penerangannya Zakaria Abdul Hamid hari ini.

Beliau dalam satu kenyataan berkata kerusi dan calon akan diumumkan sebelum hari penamaan calon 26 Februari ini.

PRN Johor dijadual berlangsung pada 12 Mac depan.

“PRN Johor adalah medan terbaik untuk kami memperkenalkan Agenda The Great Reset 2030.

“Kami berharap akan dapat memberikan saingan yang sihat kepada parti-parti politik lain yang bertanding di dalam PRN pada kali ini,” katanya.

Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight, Setiausaha Agung PBM Nor Hizwan Ahmad berkata parti berusia dua bulan itu mahu “bersedia menang dan bukan sekadar menguji kekuatan” di Johor.

“Ia bukan sekadar untuk uji ‘pasaran’ kami. Jika PBM memutuskan untuk bertanding, itu bermakna kami sudah bersedia untuk menang,” katanya.

Beliau juga berkata parti itu akan mengintai kerusi yang mempunyai komposisi kaum bercampur.

Calon juga mestilah dari Johor, sebaik-baiknya dari DUN yang ditandingi, tambahnya.

“Kami lihat pada kawasan yang ada pengundi campuran. Itu antara sasaran awal kami.

“Dan, sesiapa yang bertanding mestilah orang tempatan. Kita tidak mahu letak calon bidan terjun.

“Orang itu perlu sudah ada di lapangan, menetap atau dari kawasan berdekatan, berkhidmat kepada masyarakat dan membawa idea kami,” katanya.

PBM peringkat kebangsaan dilancarkan pada Disember, mengambil alih Parti Pekerja Sarawak.

Bekas pengerusi PKR Sarawak Larry Sng merupakan presiden PBM, manakala beberapa lagi pemimpin tertinggi parti itu bekas ahli PKR.

Dikhabarkan PBM disokong Zuraida Kamaruddin namun beliau menafikannya, menambah beliau akan kekal dalam Bersatu.

PRN Johor diadakan selepas kerajaan negeri memohon pembubaran DUN, dengan perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Johor mempunyai 56 kerusi DUN, tetapi kerusi Kempas kosong berikutan kematian Adunnya Osman Sapian, tahun lalu.

Susulan kematian Osman, kerusi majoriti kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berbeza cuma satu dengan Pakatan Harapan (PH).

DUN Johor sebelum dibubarkan terdiri daripada 16 kerusi BN, 12 kerusi PN dan 27 kerusi PH. – 10 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen