PENGARAH Komunikasi PKR Fahmi Fadzil memfailkan saman sivil ke atas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan sebuah syarikat keselamatan data berhubung kebocoran data melibatkan 46.2 juta maklumat peribadi pengguna perkhidmatan telekomunikasi.
Katanya, saman ke atas SKMM dan syarikat Nuemera (M) Sdn Bhd itu difaikan untuk mendapatkan penjelasan mengenai punca kebocoran maklumat peribadi tersebut
“Saya percaya kita semua mahu tahu bagaimana kecurian maklumat peribadi ini boleh terjadi. Saya juga percaya kita semua mahu tahu apakah langkah-langkah yang akan atau telah diambil pihak berkuasa untuk menyelamatkan keadaan.
“Saya berharap, melalui tindakan saman sivil ini, persoalan ini akan dapat dijawab, beberapa perkara mendapat pencerahan, dan langkah memperbaiki keadaan dapat diambil demi keadilan buat semua rakyat Malaysia,” katanya.
Nuemera telah dilantik untuk mengurus perkhidmatan penyekat selular awam SKMM, yang bertujuan untuk mengurangkan jenayah jalanan dan kecurian telefon bimbit dengan melumpuhkan kod Identiti Peralatan Stesen Bergerak Antarabangsa 15 digit telefon.
“Kami failkan saman ini semalam, dan kami akan menunggu untuk tarikh pengurusan kes, yang mungkin sebulan atau setengah bulan kemudian,” kata Fahmi.
Katanya, menjadi tanggungjawab SKMM dan Nuemera untuk menjelaskan apa yang berlaku dalam kebocoran data itu.
“Ambil tanggungjawab, kerana mereka dilihat begitu proaktif bila melibatkan individu memuat naik posting di Facebook, tetapi ini adalah skandal mega. Kita tidak pernah kehilangan data sebanyak itu sebelum ini,” katanya pada satu sidang media di pejabat PKR Lembah Pantai hari ini.
Fahmi diwakili oleh peguam Syahredzan Johan, yang berkata saman itu adalah berdasarkan kegagalan SKMM dan Nuemera untuk “menjaga maklumat rakyat Malaysia daripada kebocoran data.”
“Dalam proses perundangan ini, sudah pasti defendan akan mengatakan apa yang sudah mereka lakukan dan sebagainya, jadi kita mahu tahu butiran jelas apa yang sebenarnya berlaku, dan apa tindakan yang diambil untuk menangani masalah ini.”
Katanya, tiada apa yang boleh menghalang masyarakat umum untuk mengambil tindakan saman ke atas SKMM dan Nuemera.
“Fahmi telah mengambil langkah pertama, dan tiada apa yang boleh menghalang orang lain daripada melakukan perkara yang sama.
“Saman ini adalah mengenai sebelum, semasa dan selepas kebocoran tu berlaku..bagaimana mereka gagal untuk mengadakan sistem yang teratur bagi mengelakkan kebocoran sebegini daripada berlaku, dan mengapa pengguna tidak dimaklumkan perkara itu.”
Malaysia mula didedahkan dengan kebocoran data besar-besaran pada 19 Oktober tahun lalu, yang dilaporkan oleh lowyat.net.
Kebocoran itu didakwa berlaku antara 2012 dan 2015, menjejaskan Jobstreet.com, Persatuan Perubatan Malaysia, Majlis Perubatan Malaysia, Akademi Perubatan Malaysia, Persatuan Pergigian Malaysia, Pendaftar Pengamal Perubatan Malaysia dan syarikat telekomunikasi termasuk Maxis, Celcom dan DiGi.
Polis menjejak alamat IP di Oman dan berkata kebocoran itu mungkin berlaku ketika pemindahan data dan membabitkan pekerja syarikat berkenaan.
Tiada perkembangan lain sejak daripada itu.
Baru-baru ini, lowyat mendedahkan satu lagi kes kebocoran data, melibatkan 220,000 penderma organ yang berdaftar dengan hospital kerajaan dan pusat pemindahan organ.
Data berkenaan bocor seawal September 2016, melibatkan kandungan maklumat peribadi waris penderma. – 7 Februari, 2018.
Komen