MENTERI Dalam Negeri Hamzah Zainudin mengesahkan penahanan bekas pesuruhjaya tinggi Bangladesh Mohamed Khairuzzaman.
Beliau berkata, penahanan itu dibuat berikutan kesalahan yang dilakukan Mohamed dan permintaan ekstradisi oleh negara asalnya.
“Tangkapan dibuat mengikut prosedur.
“Mengikut undang-undang, jika ada kesalahan, kami akan tangkap,” kata Hamzah pada sidang media hari ini, lapor Astro Awani.
Terdahulu hari ini, sumber memberitahu The Malaysian Insight bahawa Mohamed telah ditangkap pagi semalam, dan akan dihantar pulang ke Bangladesh. Jabatan Imigresen membantu dalam penahanan itu.
Lelaki terbabit pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia pada 2007.
Sementara itu, pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia ketika dihubungi enggan mengulas lanjut.
Jabatan Imigresen, Bukit Aman dan Wisma Putra belum menjawab pertanyaan.
Kerajaan Bangladesh telah membatalkan pasport Mohamed pada Januari 2009 dan memanggilnya semula ke Dhaka untuk menghadapi perbicaraan jenayah berhubung pembunuhan politik 1975.
Pesara tentera berusia 70 tahun itu sebelum ini dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan.
Menurut laporan media Bangladesh, Mohamed telah mendapatkan bantuan daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian di Kuala Lumpur, kerana bimbang akan nyawanya selepas pasportnya ditarik balik.
Sejak itu, beliau hidup sebagai pelarian di Malaysia. – 10 Februari, 2022.
Komen