POLIS dan penunjuk perasaan antivaksin bertempur di perkarangan Parlimen New Zealand pada Khamis, dengan puluhan individu ditangkap selepas penunjuk perasaan berada berhimpun di situ selama tiga hari diarah bersurai.
Aktivis melaungkan haka Maori dan menjerit “bertahan” ketika mereka bergelut dengan barisan polis yang bergerak untuk menyuraikan protes dari perkarangan Parlimen.
Polis bergerak pada pagi Khamis selepas mengambil pendekatan membiarkan sahaja pada dua hari pertama bantahan, menggunakan pembesar suara untuk memberi amaran kepada kira-kira 150 individu yang mereka akan ditangkap jika tidak bersurai.
Protes itu bermula pada Selasa sebagai meniru tindakan “Konvoi Kebebasan” oleh pemandu lori Kanada, dengan ratusan treler dan van memenuhi jalan di pusat bandar Wellington.
Kebanyakan kenderaan pergi selepas 24 jam tetapi aktivis tegar bertahan, berikrar untuk meneruskannya selama mana diperlukan.
Timbalan Perdana Menteri Grant Robertson berkata penduduk Wellington sudah hilang sabar dengan gangguan yang disebabkan oleh protes dan menggesa polis bertindak.
“Jalan raya disekat di bandar, perniagaan terpaksa ditutup, orang ramai berasa terancam dan diugut oleh beberapa penunjuk perasaan,” katanya kepada Radio New Zealand sebelum operasi polis.
Komander polis Wellington, Superintendan Corrie Parnell berkata lebih 100 pegawai tambahan dibawa masuk dari luar ibu negara untuk membersihkan protes itu.
“Walaupun polis mengakui hak orang ramai untuk membantah, ini perlu dilakukan dengan cara yang tidak memberi kesan secara tidak adil kepada orang ramai,” katanya.
Pihak berkuasa menutup presint parlimen kepada orang ramai untuk menghalang bantuan menyertai protes.
“Konvoi Kebebasan” pemandu lori di Kanada menyekat ibu kota Ottawa sejak akhir bulan lalu, mendorong pihak berkuasa bandar mengisytiharkan darurat.
New Zealand mewajibkan vaksinasi Covid bagi mereka yang bekerja dalam sektor seperti kesihatan, penguatkuasaan undang-undang, pendidikan dan pertahanan, dengan mereka yang menolaknya akan dipecat.
Bukti vaksinasi juga mesti ditunjukkan untuk memasuki restoran, acara sukan dan perkhidmatan keagamaan. – AFP, 10 Februari, 2022.
Komen