Lembah Klang catat kes jangkitan baharu Covid-19 tertinggi


Lembah Klang mencatatkan 4,854 kes Covid-19 daripada jumlah keseluruhan sebanyak 17,184 kes yang dilaporkan semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2022.

LEMBAH Klang melaporkan jumlah jangkitan Covid-19 tertinggi semalam, mencatatkan 4,854 kes daripada jumlah keseluruhan sebanyak 17,184, menurut data di GitHub Kementerian Kesihatan (KKM).

Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 3,582, diikuti Kuala Lumpur dengan 1,068 kes manakala Putrajaya melaporkan 204 kes.

Selepas Lembah Klang, Sabah melaporkan jumlah kes tertinggi iaitu 3,333, diikuti Johor dengan 2,321 kes.

Negeri lain yang melaporkan kes ialah Kedah (1,569), Kelantan (1,222), Melaka (347), Negeri Sembilan (618), Pahang (739), Perak (395), Perlis (152), Pulau Pinang (1,010), Sarawak (184), Terengganu (327) dan Labuan (63).

Susulan penambahan kes baharu, kes aktif kini berjumlah 94, 515.

Daripada jumlah itu, 83,906 (88.8%) menjalani kuarantin di rumah, 5,405 (5.7%) di pusat kuarantin kerajaan dan 5,077 (5.4%) dimasukkan ke hospital.

Seramai 147 orang sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan 79 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Di seluruh negara, kadar penggunaan hospital berada pada 69.9% dengan 50.2% digunakan untuk Covid-19.

Jumlah kemasukan ke hospital direkodkan sebanyak 1,699 semalam mengikut CovidNow.

Terdapat 439 kemasukan di Lembah Klang, dengan sebahagian besarnya, 359 kemasukan, di Selangor.

Kuala Lumpur mencatatkan 54 kemasukan, Putrajaya 26.

Sementara itu, Johor mencatatkan 402 kemasukan, Kedah (54), Kelantan (103), Melaka (29), Negeri Sembilan (75), Pahang (42), Perak (101), Perlis (18), Pulau Pinang (38), Sabah ( 248), Sarawak (120), Terengganu (27) dan Labuan (3).

Walaupun jumlah jangkitan yang tinggi, kematian kekal rendah.

Sembilan kematian dilaporkan semalam dengan empat disahkan sebagai kes kematian di luar hospital.

Perak dan Sabah masing-masing mencatatkan dua kematian, manakala Johor, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor masing-masing melaporkan satu kematian.

Tiada kematian dilaporkan di Kelantan, Melaka, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak, Terengganu, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. – 10 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen